Pasar Malam Tanjung Bidara dipindahkan demi pelancongan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Ogos – Pemindahan pasar malam dari Jalan Tanjung Bidara-Solok Duku ke parkir kenderaan di Pusat Peranginan Perigi Lawa, di sini mulai semalam bukan untuk menyusahkan peniaga, sebaliknya berdasarkan strategi serampang dua mata.

Selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan itu, pemindahan yang berkuat kuasa semalam juga bagi mengembalikan kegemilangan Perigi Lawa sebagai destinasi pelancongan popular di negeri ini selepas sepi sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Penyelaras pasar malam berkenaan yang mewakili penduduk Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Nazlan Md Nazri, 56, berkata mulai semalam kira-kira 30 peniaga di pasar malam yang sebelum ini berniaga di Jalan Tanjung Bidara-Solok Duku memulakan perniagaan di kawasan parkir berkenaan.

“Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan notis meminta mereka berpindah ke tapak baharu tiga minggu lalu kerana tapak sebelum ini mengganggu kelancaran lalu lintas.

“MPAG meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara mencari tapak yang sesuai dan kami mencadangkan supaya memilih tapak di parkir kenderaan di pusat peranginan Perigi Lawa,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Malam Perigi Lawa, petang semalam.

Beliau berkata, pusat peranginan berkenaan mengalami kemerosotan jumlah pengunjung, terutama pelancong asing sejak 10 tahun lalu berikutan pembangunan industri pelancongan di lokasi lain seperti Pantai Puteri di Tanjung Kling dan Pantai Pengkalan Balak serta Padang Kemunting, di Masjid Tanah dekat sini.

Katanya, orang ramai yang mengunjungi Pasar Malam Perigi Lawa secara tidak langsung akan turut mengunjungi pantai indah di kawasan itu, sekali gus memajukan semula lokasi berkenaan sebagai satu daripada destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Seranta MPAG, Amri Zul berkata, selepas pasar malam di persimpangan itu beroperasi sejak 15 tahun lalu, sudah tiba masanya untuk ia dipindahkan ke lokasi yang agak jauh dari jalan utama.

“Tapak pasar malam sebelum ini sesak dengan kenderaan dari Masjid Tanah ke Kem Terendak dan Tanjung Bidara dan MPAG terpaksa memindahkannya bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar,” katanya.

Peniaga, Mohd Firdaus Abdul Aziz, 38, berkata ketika memulakan perniagaan di tapak baharu itu, beliau agak sangsi mengenai kehadiran orang ramai tetapi selepas dua jam berniaga mulai jam empat petang, beliau berpuas hati dengan jumlah pelanggan.

“Alhamdulillah, jumlah pelanggan tidak mengecewakan dan saya harap ia akan meningkat minggu hadapan kerana mungkin ramai yang belum tahu tapak pasar malam sudah berpindah,” katanya.

Peniaga roti john yang hanya ingin dikenali sebagai Ana berkata, jumlah pelanggan semalam agak kurang berikutan lokasi berkenaan masih belum diketahui ramai pelanggan tetapi beliau yakin ia bakal meningkat minggu hadapan.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post UTeM laksana pilihanraya Kampus kaedah ‘Mobile Undi’
Next post APM bantu pindahkan mangsa obesiti
Ubah saiz-+=