Pasukan khas TF-PSKC19 buru majikan gagal pastikan pekerja asing jalani ujian COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 19 Jan. – Tiga pasukan Task Force Program Saringan Kesihatan COVID-9 (TF-PSKC19) dilancarkan hari ini bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, pihaknya menetapkan setiap majikan di negeri ini yang menggajikan lebih 50 pekerja asing wajib menentukan bahawa semua pekerja mengikuti saringan COVID-19 .

“Tiga pasukan TF-PSKC19 ini yang dianggotai sembilan pegawai penguat kuasa akan menjalankan operasi bermula hari ini hingga selesai pengesanan majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Operasi Khas TF-PSKC19-Melaka di Menara Persekutuan, hari ini.

ISMAIL menyerahkan PPE kepada pegawai penguatkuasa JKKP Melaka yang terlibat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Rosli Jantan; Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Dr. Rabaayah Daud dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Abd Razak Omar.

Ismail berkata, setakat ini terdapat 2,125 majikan berdaftar di negeri ini yang menggunakan khidmat pekerja asing.

“Daripada jumlah majikan itu, seramai 54,535 pekerja asing telah berdaftar sekali gus menunjukkan bilangan yang besar di Melaka.

“Justeru, majikan yang gagal dan melanggar peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada pelancaran itu turut diagihkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada pegawai penguatkuasa TF-PSKC19 yang terbabit.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Halimah Sadique positif COVID-19
Next post Penganjuran Karnival Penjana Kerjaya Melaka belum muktamad
Ubah saiz-+=