
PATUNG MAINAN GEBU ‘MADE IN REMBIA’
REMBIA 20 Ogos – Tidak mustahil suatu hari nanti Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia akan melahirkan usahawan dalam penghasilan permainan patung yang lembut (soft toy) terkemuka di negara ini.
Hasil inisiatif SejaTi MADANI, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Kampus Alor Gajah kini melatih 30 peserta dalam kalangan Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Pengkalan mengenai proses menghasilkan soft toy ‘made in Rembia’
Tenaga pengajar bagi projek itu Dr. Liza Marziana Mohammad Noh berkata, hasil inisiatif SejaTi MADANI pihaknya melatih kumpulan peserta untuk menghasilkan patung lembut burung hantu menggunakan bahan asas kain batik dan kain flet.
“Kami mahu buka peluang dan mengajak peserta menerika bidang ini yang amat luas dan berpotensi besar untuk diusahakan secara komersial. Bukan setakat bertindak sebagai fasilitator kami turut memastikan produk menggunakan jenama ‘geboo’ (gebu) berkualiti.
“Bermula daripada proses pembuatan hingga pembungkusan semuanya kami pantau dan mengikut perancangan selepas ini kami akan melatih peserta mengenai teknik pemasaran menerusi media sosial.
“UiTM menggunakan sepenuhnya kepakaran dimiliki pensyarah daripada pelbagai fakulti bagi membantu menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Dr. Liza Marziana berkata, setakat ini Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi pelanggan sulung patung burung hantu itu dengan tempahan sebanyak 1,100 unit yang disiapkan dalam tiga fasa.
Katanya, bagi peringkat seterusnya beliau bersama peserta bercadang untuk menghasilkan permainan patung lembut dalam bentuk kucing dan kancil yang menjadi identiti Negeri Melaka.
Sementara itu peserta program, Zaiton Hasan dari Taman Seri Sutera berkata, ilmu pengetahuan adalah dan pendedahan yang diterima daripada UiTM adalah perkara paling berharga buat dirinya berbanding menjana pendapatan sampingan.
“Bermula daripada ‘zero’ (kosong) kami mendapat banyak kemahiran yang amat penting dalam penghasilkan permainan patung lembut ini. Hasil bimbingan UiTM kami bersemangat untuk meneruskan projek ini dan tidak mustahil pada masa akan datang ia akan dilaksanakan di peringkat taman perumahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.