Paya Lebar pengeluar kayu arang terbaik Asia Tenggara

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

STRUKTURNYA sudah berusia lebih 100 tahun namun masih utuh dan tidak dimamah usia, itulah keunikan sabak arang binaan berbentuk seperti iglu di tebing Sungai Paya Lebar, Lubok China, Masjid Tanah, di sini, digunakan untuk menghasilkan kayu arang.

Cara pembuatan kayu arang yang ‘klasik’ masih diamalkan hingga ke hari ini bagi mengekalkan kualiti produk yang diiktiraf sebagai yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Selain itu struktur sabak arang berkenaan yang semakin sukar ditemui di negara ini menjadi antara ‘aset’ utama dalam memajukan lagi industri eko-pelancongan di Paya Lebar.

Sabak Arang beroperasi sejak 1919

Pengusaha tunggal kayu arang Bumiputera Negeri Melaka, Md Derus Maluddin, 80, masih mempertahankan cara klasik menghasilkan produk itu selepas 48 tahun berkecimpung dalam industri berkenaan.

Katanya, saingan daripada pengeluar lain yang menggunakan kaedah moden tidak mematahkan semangatnya untuk terus menggunakan sabak arang berkenaan yang dikatakan dibina pada 1910-an.

OPERASI SEBELUM MERDEKA

Langit Sungai Paya Lebar kekal menjadi saksi kepada industri yang beroperasi sejak sebelum merdeka itu dan terus kekal bersaing dalam pasaran hingga ke hari ini.

Md Derus berkata, dia membeli perusahaan itu daripada pengusaha asal berketurunan Cina dan tidak pernah mengubah teknik pembakaran digunakan bagi mengekalkan keaslian arang, apa yang membanggakan produk keluarannya turut dipasarkan ke beberapa negara luar.

“Sebelum saya ambil alih, pemilik asal sudah mengusahakan tapak ini selama 55 tahun. Kita mempunyai sabak arang yang asli dan masih kekal utuh sehingga hari ini.

“Saya harap pihak berkenaan membantu kita memperkasakan lagi industri ini, sekali gus mempertingkatkan daya tarikan eko-pelancongan di Paya Lebar,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

ARANG TERBAIK DI ASIA TENGGARA

Pembikinan arang menggunakan konsep lama memerlukan tempoh lebih kurang 12 hari terutama proses mendapatkan sumber kayu pokok bakau di sekitar Sungai Paya Lebar.

Menurutnya, setiap kali proses pembakaran sabak arang mampu memuatkan kira-kira 20 tan kayu bakau dan akan menghasilkan kira-kira enam hingga tujuh tan selepas proses mengambil masa seminggu itu selesai.

photo_6154704714198004218_y
Pengusaha, Md Derus Maluddin, 80, menunjukkan kayu bakau untuk dijadikan kayu arang. Foto: MR. AZLI

“Sebelum ini kita ada terima pelawaan pemborong dari Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Vietnam berminat untuk mengimport kayu arang namun hasrat itu terbantut, tidak dapat diteruskan akibat kekurangan sumber mentah. Operasi juga terganggu kerana kekurangan pekerja berikutan pandemik COVID-19 lalu.

“Permintaan dari negara luar begitu tinggi hingga ada meletakkan syakat supaya kita menghasilkan sehingga 20 tan arang setiap hari, tetapi itu diluar kemampuan.

“Ramai pemborong diluar sana meminati produk kita, mereka iktiraf arang kita terbaik di ASEAN berbanding keluaran syarikat lain yang kebanyakkannya menggunakan habuk kayu,” katanya.

KERAJAAN PERLU AMBIL PERHATIAN PERMATA PELANCONGAN MELAKA

Keindahan panorama Sungai Paya Lebar dan kaya dengan pelbagai ekosistem perlu diteroka serta dimartabatkan untuk mengoptimumkan industri eko pelancongan yang membawa limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.

Pelbagai tarikan di hutan paya bakau itu yang menjadi pilihan pelancong ditambah dengan aktiviti perikanan dan tarikan santuari buaya perlu diketengahkan lagi.

photo_6154704714198004223_y
MD Derus Maluddin, 80, menyusun kayu arang yang telah siap dibakar. Foto: MR. AZLI

Berkongsi pendapatnya Md Derus berkata, kekangan dalam mendapatkan kelulusan seperti permohonan lesen membantutkan usahanya untuk mengembangkan perniagaannya ke persada antarabangsa.

“Sudah banyak kali kita mohon untuk pastikan perniagaan ini maju ke hadapan kerana permintaan arang pada hari ini cukup tinggi walaupun kita hidup dalam era pemodenan yang ada.

“Kita hadapi sedikit kekangan seperti kelulusan mendapatkan sumber kayu bakau yang membantutkan hasrat kami untuk membangunkan kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7219
Kongsi :
Previous post 42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai
Next post PM cipta sejarah berucap dalam Bahasa Melayu pada perhimpunan PBB di New York
Ubah saiz-+=