PdPR: Cabaran buat guru, ibu bapa dan murid pun bermula
KUALA LUMPUR 20 Jan – Pembukaan sesi persekolahan dalam normal baharu hari ini memberi pengalaman yang mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Kalau setiap tahun wajah keterujaan murid dan ibu bapa yang paling ditunggu-tunggu terutama yang pertama kali memasuki alam persekolahan, tetapi tahun ini berbeza apabila anak akan memulakan sesi persekolahan hanya di rumah.
Pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan aliran penurunan dengan kumulatif kes melebihi 150,000 dan kes harian yang mencapai empat digit menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat ketetapan baharu dengan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini.
Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) bagi tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara sahaja dibenarkan memulakan sesi persekolahan melalui kaedah bersemuka.
Manakala murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan 1 hingga 5 bagi tahun ini pula mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mahu atau tidak, pembelajaran melalui PdPR yang telah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lepas perlu dimantapkan kerana kita tidak tahu berapa lama lagi pandemik ini akan berakhir.
Ruang penambahbaikan dalam pengajaran PdPR perlu dipertingkatkan kerana banyak isu yang dibangkitkan terutama kesediaan murid dan guru menerima kaedah ini sebagai sebahagian daripada normal baharu dalam pendidikan.
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kajian tentang kesediaan guru dalam melaksanakan PdPR menunjukkan banyak masalah yang dihadapi ketika melaksanakan PdPR.
Antaranya 70 hingga 80 peratus guru melaporkan cabaran utama melaksanakan PdPR adalah kesukaran mendapatkan perhatian pelajar selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastrutur dan capaian internet.
Kehadiran murid yang mengikuti PdPR pula tidak mencapai 80 peratus dan kebanyakan murid tidak memberikan fokus kerana suasana rumah yang tidak kondusif.
Kajian itu juga menunjukkan 50 hingga 60 peratus guru tidak selesa melaksanakan pengajaran secara dalam talian dan 50 hingga 60 peratus guru melaksanakan PdPR dalam tempoh antara satu dan dua jam sahaja.
Kemahiran guru menggunakan peralatan IT secara dalam talian pula hanya sekitar 50 hingga 60 peratus manakala hanya 40 hingga 50 peratus sahaja guru yang mahir mempelbagaikan pengajaran secara dalam talian.
Kajian yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor itu juga menunjukkan kaedah pengajaran guru kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajaran murid.
Dapatan kajian itu juga menunjukkan komunikasi murid dan guru melalui PdPR sangat terbatas dan terdapat guru memberikan terlalu banyak latihan kepada murid hingga menyebabkan sebahagian ibu bapa merasa terbeban kerana terpaksa membantu anak membuat latihan.
Guru pula terikat kerana perlu habiskan silibus selain perlu memberikan laporan sebagai pembuktian PdPR dilaksanakan.
Menurut Azlin Norhaini, bagi memantapkan kaedah PdPR kerjasama tiga pihak iaitu guru, murid dan ibu bapa sangat penting untuk memastikan keberkesanan kaedah ini.
Berdasarkan temu bual bersama guru, ibu bapa dan murid, memang terdapat kekangan dan kesukaran dalam melaksanakan PdPR walaupun mempunyai peralatan dan internet yang mencukupi.
“Murid sukar untuk memahami pembelajaran secara online sebab masalah komunikasi yang one-way (guru kepada murid), murid sukar nak bertanya soalan atau untuk minta penjelasan lanjut.
“Apabila murid tidak faham, ibu bapa perlu main peranan untuk mengajar anak dan bantu mereka untuk menyiapkan latihan. Majoriti ibu bapa tidak mampu sebab mereka juga tiada pengetahuan dan tiada masa lapang sebab kebanyakan ibu bapa juga bekerja dari rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau, yang juga Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan UKM berkata, kebanyakan ibu bapa yang pada awalnya berusaha membantu anak akhirnya terpaksa reda apabila anak mereka ketinggalan dalam menyiapkan latihan akibat kesukaran untuk membantu menyiapkan latihan itu. – BERNAMA