PDRM tambah pegawai, anggota di pintu sempadan mulai 1 April
BATU PAHAT, 17 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah bilangan anggota dan pegawai di sempadan negara bagi mengawal kemasukan pengembara ke negara ini menjelang 1 April bagi memastikan individu yang benar-benar layak sahaja dibenarkan masuk.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata penambahan berkenaan dilakukan bagi mengawal penularan COVID-19 yang dikhuatiri boleh dibawa oleh pengembara terbabit.
Katanya, langkah itu melibatkan pintu-pintu masuk utama negara termasuklah lapangan terbang bagi memastikan para pengembara berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pihak JPJKK PDRM akan sentiasa berhubung dengan lain-lain jabatan yang ada bagi memastikan penguatkuasaan SOP dapat dilaksanakan termasuk bantuan daripada pihak di Bukit Aman.
“Apabila sempadan dibuka, ramai pelancong atau pengembara yang akan masuk ke dalam negara dan mereka perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tahun 2021 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, di sini.
Seramai 102 pelatih dari kedua-dua universiti berkenaan tamat latihan dan layak menerima Sijil Inspektor Kor SUKSIS.
Dalam perkembangan lain, PDRM juga menggalakkan pelatih SUKSIS untuk menjadikan bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.
“Latihan dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh tiga tahun latihan, pelatih Kor SUKSIS adalah antara calon terbaik untuk menyertai pasukan.
“Pelatih juga akan diberikan keutamaan ketika pemilihan untuk memasuki pasukan polis dan perlu memohon dalam tawaran untuk jawatan inspektor polis yang dibuka pada setiap tahun,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.