Tengku Zafrul nafi letak jawatan Menteri Kewangan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan khabar angin mengenai peletakan jawatannya sebagaimana dilaporkan sebuah media tempatan hari ini.

Sambil menyifatkan laporan itu sebagai palsu, beliau berkata ketidakhadirannya di Parlimen hari ni adalah kerana mempunyai urusan kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini.

‘’Perkara ini telah pun dimaklumkan semalam. Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan,’’ katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini sebagai mengulas laporan sebuah media tempatan mengenai sama ada beliau telah meletakkan jawatan.

Isu berkenaan timbul apabila Tengku Zafrul digantikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021/2022) hari ini.

“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan. Mereka boleh sahaja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya.

“Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media — gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran beliau di Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Tengku Zafrul menjelaskan, mengikut prosedur operasi standard MQT, hanya menteri yang boleh memberikan jawapan dan menurutnya, ini bukan kali pertama seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain.

“Terima kasih Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad) kerana membacakan jawapan saya. Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada Ahli Parlimen Padang Serai, Tumpat dan Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku,’’ kata beliau.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1499
Kongsi :
Previous post COVID-19: Korea Selatan rekod 600,000 kes semalam
Next post PDRM tambah pegawai, anggota di pintu sempadan mulai 1 April
Ubah saiz-+=