PEKA gesa kajian terperinci isu hakisan dijalankan segera

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 25 Okt – Penambakan laut secara berleluasa untuk mewujudkan tanah yang lebih luas bagi tujuan pembangunan berkemungkinan menjadi antara penyebab beberapa kawasan pinggir pantai di Melaka semakin terhakis.

Justeru, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa kerajaan negeri menjalankan kajian terperinci mengenai hakisan pantai yang didakwa semakin serius supaya ia tidak merebak ke kawasan penempatan penduduk kawasan sekitar Pantai Puteri dan Tanjung Dahan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, isu hakisan itu bukan sahaja berlaku di utara Melaka malah turut menjejaskan persisiran pantai di selatan Negeri Sembilan.

Katanya, situasi itu berlaku kemungkinan disebabkan oleh aktiviti penambakan laut di Negeri Sembilan bagi membentuk pantai pelancongan yang lebih luas, manakala kegiatan sama dilakukan di negeri ini bagi mewujudkan kawasan pelabuhan yang lebih besar.

“Kerancakan aktiviti manusia itu secara jelasnya bertentangan dengan sifat alam semula jadi sekali gus menyebabkan faktor alam ini lebih memberi kesan ketara terhadap pengurangan lebar pantai.

PRESIDEN PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil

“Isu juga itu petanda jelas akibat daripada pemanasan global dan perubahan iklim serta kenaikan paras laut, katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan masalah yang boleh mengancam periuk nasi nelayan di kawasan sekitar serta menjejaskan penempatan penduduk pada masa akan datang, kajian terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti masalah itu serta mengesan sumber pasir yang diambil bagi tujuan penambakan.

“Kajian di kawasan pantai ini akan menunjukkan bahawa kemungkinan aktiviti manusia telah mengubah geografi dasar laut menyebabkan ombak lebih cepat dan lebih berbahaya menghempas pantai.

“Keadaan itu sekaligus menyebabkan sisa pasir yang terhakis itu dibawa semula ke dalam laut untuk menggantikan ekstrak penambakan (pasir) di kawasan lain.

“Tanpa kajian ini, Negeri Melaka akan kehilangan pantai setiap tahun yang disebakan oleh hakisan dan ia akan terus berlanjutan sehingga menjejaskan infrastruktur seperti jalan raya dan mengancam penempatan penduduk,” katanya.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Spekulasi darurat: Melaka sedia hadapi sebarang kemungkinan
Next post Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara hadiri perbincangan khas
Ubah saiz-+=