Sorting by

×

PEKAN ASAHAN BAKAL MILIKI STESEN MINYAK, PONDOK ATM

Masa Membaca:59 Saat

ASAHAN 28 April – Penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar Pekan Asahan bakal menerima berita gembira apabila sebuah stesen minyak bakal dibangunkan di sebuah tanah lapang berhadapan Masjid Tun Khalil.

Ia sekali gus meleraikan dilema yang membelenggu penduduk yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 30 minit untuk ke stesen minyak berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pekan Asahan Rahim Rahman berkata, stesen minyak terdekat untuk penduduk kampung pada ketika ini adalah di kawasan Jementah, Johor dan Jasin yang terletak jauh dari kawasan tersebut.

Oleh sebab itu, katanya, sebuah stesen minyak adalah satu keperluan memandangkan kawasan tersebut kini menjadi antara laluan utama pengguna jalan raya untuk ke Pantai Timur.

“Sebelum ini, penduduk tiada pilihan melainkan terpaksa membeli minyak petrol botol di kedai runcit pada harga lebih mahal.

“Oleh sebab itu, kita amat berharap pembinaan stesen minyak ini dapat direalisasikan dan setakat ini saya dimaklumkan perancangan itu menunjukkan hasil positif,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, selain stesen minyak, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan juga bakal mengotakan janji untuk memastikan Pekan Asahan memiliki mesin juruwang automatik (ATM) untuk memudahkan penduduk kampung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post DUN MELAKA LULUS USUL KUMPULAN WANG AMANAH CAJ WARISAN
Next post MELAKA SEDIA KAWASAN PERKUBURAN TAMBAHAN, TAMPUNG KEPERLUAN MASA HADAPAN