Pekerja balak mengamuk bakar kereta peronda polis

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUANTAN, 24 April – Sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja musnah terbakar angkara tindakan seorang pekerja balak yang mengamuk di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan,semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam apabila pihaknya menerima maklumat daripada penjaga tanah matau balak yang mengatakan terdapat seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi.

Beliau berkata tiga anggota polis ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta peronda berkenaan dan sejurus tiba suspek berada seorang diri di kawasan rumah kongsi tersebut.

“Semasa pemeriksaan dilakukan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

Seorang anggota yang masih berada di dalam kenderaan bertindak keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri manakala suspek terus lari ke dalam kawasan hutan berhampiran dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut,Mohd Zaidi berkata dua anggotanya hanya hanya mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dan kini Op Tutup dilaksanakan untuk mengesan suspek di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Sementara itu,Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi telah digerakan ke lokasi kejadian dan anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Terowong dasar laut Melaka akan bermula dari Telok Gong
Next post 72 tahanan Rohingya masih diburu – Polis
Ubah saiz-+=