Pekerja warga Thailand maut diserang gajah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA BERANG 23 Jun – Seorang pekerja warga Thailand maut selepas diserang seekor gajah ketika melakukan tugasan di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, Anucha Tangsakun, 38, ditemukan oleh rakan sekerjanya pada kira-kira 7.45 pagi tadi dengan kesan terbelah di bahagian perut dan luka di paha kirinya.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan rutin harian dengan memberi makanan dan melakukan pembersihan kepada seekor gajah yang bernama Tenang sebelum haiwan itu dipercayai mengamuk dan menyerang mangsa.

“Semasa kejadian mangsa dipercayai ingin melepaskan ikatan pada kaki gajah itu untuk membawanya mandi di sungai. Gajah berusia 22 tahun itu bagaimanapun dikatakan terus menyerang mangsa dengan menusuk gadingnya ke bahagian perut dan paha kiri mangsa.

“Sejurus tiba, didapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak bernyawa di kawasan lapang tempat gajah diikat. Terdapat kesan terbelah di perut mangsa dan luka di bahagian pahanya manakala gajah tersebut telah dipindahkan ke kawasan lain oleh para pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata pihaknya dimaklumkan emosi Tenang dikatakan kurang stabil ekoran sering diganggu dan dicederakan oleh gajah-gajah liar yang memasuki kawasan santuari sejak dua minggu lepas.

Beliau menambah kawasan lindungan seluas 256 hektar itu mempunyai 33 orang pekerja dan menempatkan 18 ekor gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Melaka benarkan pelaksanaan ibadah korban
Next post COVID: Kes baharu kembali meningkat dengan 5,244 kes hari ini- KP Kesihatan
Ubah saiz-+=