Pelajar IPTS maut, motosikal terbabit kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 1 Februari – Pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Datuk Mohd Zin, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa Muhammad Naqib Firdaus Noraizam, 21, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Demak DTM200 dan Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 43 tahun.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Batu Berendam manakala pacuan empat roda terbabit dari arah bertentangan.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kejadian dipercayai berlaku pacuan empat roda terbabit yang datang dari arah bertentangan memasuki simpang dengan tiba-tiba.

“Mangsa yang melalui lokasi kejadian disyaki tidak sempat memberhentikan motosikal dan mengelak lalu terlanggar Mitsubishi Triton terbabit,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada perlanggaran itu motosikal ditunggang mangsa tercampak ke atas pacuan empat roda berkenaan sebelum terjatuh.

“Pacuan empat roda itu turut merempuh sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah kedai.

“Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Ujarnya, siasatan berhubung kejadian masih diteruskan selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5287
Kongsi :
Previous post OKU lemas di Sungai Melaka
Next post Batal lesen agensi pelancongan jika langgar peraturan – MOTAC
Ubah saiz-+=