Pelajar KUIM dilantik Duta Mahasiswa Bank Islam

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA 26 Feb. – Pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Muhammad Khatib Kamaruzaman, 24, dilantik sebagai Duta Mahasiswa Bank Islam yang diumumkan pihak pengurusan bank berkenaan baru-baru ini.

Pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Takaful (BIBT) daripada Fakulti Inovasi Perniagaan dan Teknologi (FIPT), menerusi kenyataan yang dikeluarkan KUIM hari ini, berkata beliau antara empat mahasiswa yang dilantik sebagai duta bank berkenaan selain mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, beliau kini sedang menjalani latihan industri di ibu pejabat Bank Islam di Kuala Lumpur dan faktor utama yang mendorongnya menyertai Program Duta Mahasiswa Bank Islam berkenaan ialah untuk mencabar kebolehan diri sendiri.

“Terima kasih kepada Bank Islam kerana telah memilih saya sebagai seorang daripada duta dan saya melihat peluang tersebut datang dengan satu tanggungjawab besar yang akan digalas sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, penyelaras Ijazah Sarjana Muda BIBT Salbiah Nur Shahrul Azmi berkata, antara kelebihan BIBT yang ditawarkan di KUIM ialah sijil profesional Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) dan Intermediate Qualification in Islamic Finance (IQIF) daripada badan profesional Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) bagi tempoh pengajian tiga tahun termasuk latihan industri.

“Alhamdulillah, kami dan seluruh warga FIPT amat berbangga dan bersyukur kerana acuan kami diterima baik oleh pihak industri dan pihak fakulti sentiasa memastikan bahawa program tersebut selari dengan kehendak pasaran.

“Terima kasih kepada pihak Bank Islam kerana telah memberi kepercayaan kepada pelajar kami untuk menjadi seorang daripada Undergrads Ambassador dan Muhammad Khatib adalah idola dan contoh dalam kalangan pelajar BIBT,” katanya.

Beliau berkata antara tugas Duta Mahasiswa Bank Islam ialah menarik minat mahasiswa memilih Bank Islam sebagai sebuah institusi untuk membina kerjaya dan menyertai program yang dianjurkan bank tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1224
Kongsi :
Previous post Pegawai polis antara empat direman bantu siasatan kes rasuah
Next post 29,042 unit penginapan pekerja diperiksa sejak awal bulan
Ubah saiz-+=