Pelajar maut motosikal bergesel lori simen

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

PAYA RUMPUT 28 Oktober – Pelajar lelaki Tingkatan Empat maut, selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori simen dalam kejadian di Jalan Tanjung Minyak, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu mangsa Nur Imran Musa, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menduduki ujian memandu bagi mendapatkan lesen P.

“Ketika kejadian mangsa dan lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Tanjung Minyak menghala ke persimpangan lampu isyarat Tanjung Minyak.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa yang dalam perjalanan melalui jalan dari dua lorong kepada satu lorong disyaki bergesel dengan lori simen terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa jatuh dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4999
Kongsi :
Previous post Hasrat bercuti tiga beranak bertukar tragedi
Next post Mangsa banjir Melaka menurun
Ubah saiz-+=