Pelajar rugi lebih RM80,000 terpedaya pelaburan bitcoin

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 11 Jan. – Terpedaya dengan pulangan lumayan dalam masa tiga hari, seorang pelajar universiti swasta di sini kerugian lebih RM80,000 apabila menjadi mangsa terbaharu iklan pelaburan mata wang digital atau bitcoin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku 5 Januari lalu apabila mangsa perempuan berusia 25 tahun terlihat iklan pelaburan terbabit di Facebook (FB).

“Iklan terbabit menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 72 jam sebelum mangsa kemudian dihubungi melalui aplikasi Whatsapp oleh suspek yang memberi penerangan mengenai pelaburan Bitcoin.

“Setelah bersetuju, suspek mengarahkan mangsa supaya mendaftar di satu laman web antara 5 Januari hingga 8 Januari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, selepas itu pelajar berkenaan telah membuat beberapa transaksi bayaran secara berperingkat untuk membeli bitcoin ke lima akaun yang berbeza keseluruhannya berjumlah RM84,600.

“Suspek terus mengarahkan mangsa membuat bayaran sehingga dia kehabisan wang menyebabkan mangsa memaklumkan kepada ahli keluarga setelah merasakan dia ditipu.

“Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis 8 Januari lalu di Balai Polis Tengkera dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan,” katanya.

Sundra Rajan sehubungan itu menasihatan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan dengan iklan dan tawaran menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.

Maklumat lanjut berkaitan pelaburan boleh diperolehi melalui sumber rasmi seperti alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Views:

613
Kongsi :
Previous post Menteri Kabinet diarahkan membuat ujian saringan COVID-19
Next post Dua suspek kes samun ditahan, seorang diburu
Ubah saiz-+=