Pelajar sekolah antara ditahan samun pekerja kebun sayur

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 24 Januari – Enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah ditahan selepas dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjata keatas pekerja kebun, di sekitar Alor Gajah, bulan lalu.

Kejadian dikatakan berlaku antara 3 hingga 20 Disember 2023 apabila warga Bangladesh mendakwa mereka disamun kumpulan lelaki bersenjatakan parang dan besi di rumah kongsi, kebun sayur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kesemua suspek berusia 13 hingga 27 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan iaitu di Simpang Ampat, Alor Gajah dan di Sik, Kedah.

Jelasnya, laporan polis pertama berhubung kejadian diterima pihaknya pada 4 Disember, yang mengatakan sekumpulan tiga lelaki warga Bangladesh, disamun di kebun sayur di Padang Kambing.

“Pada hari sama juga, satu lagi laporan polis berhubung jenayah sama diterima pihaknya dan kejadian berlaku di kebun sayur di Melekek, yang membabitkan tiga pekerja warga asing.

“Manakala laporan terkahir pula diterima pada 20 Disember daripada seorang pengurus kebun yang mendakwa seorang pekerjanya disamun enam lelaki bersenjata ketika berada di kebun, di Simpang Ampat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, modus operandi digunakan kumpulan ini sama iaitu suspek menutup muka dan bersenjata termasuk menggunakan parang.

“Suspek didakwa bukan sahaja melarikan telefon bimbit milik mangsa tetapi juga wang tunai yang keseluruhan berjumlah hampir RM8,000.

“Malah ada daripada mangsa dimaklumkan turut mengalami kecederaan apabila dipukul serta ditetak oleh suspek,” katanya.

Arshad berkata, susulan daripada itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan kesemua suspek sebelum polis berjaya menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam jenayah samun itu.

“Kesemua suspek kemudian direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Kesesakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

911
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka rai Thaipusam dibenar cuti tanpa rekod
Next post Keluarga Bella zahir ucapan terima kasih atas komitmen polis
Ubah saiz-+=