
PELAKSANAAN FASA PERTAMA KORIDOR UTILITI MELAKA BERJALAN LANCAR
SERI NEGERI 23 Oktober – Pelaksanaan fasa pertama projek Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd (KUM) berjalan lancar dengan beberapa projek utiliti telah disempurnakan mengikut amanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan, berkata perkembangan positif itu turut dizahirkan menerusi penyerahan bayaran royalti berjumlah RM5 juta kepada Kerajaan Negeri sebagai komitmen tahun pertama pelaksanaan perjanjian antara kedua-dua pihak.
Katanya, pembayaran tersebut dibuat berdasarkan perjanjian yang menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus atau minimum RM5 juta setahun dikembalikan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk royalti.
“Penyerahan ini merupakan bayaran bagi tahun pertama, fasa pertama. Bagi tahun hadapan, bayaran akan dibuat dua kali iaitu bagi fasa pertama dan fasa kedua seperti termaktub dalam perjanjian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bayaran Sumbangan Tahunan KUM Sdn Bhd kepada Kerajaan Negeri yang diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ismael berkata KUM berperanan penting dalam menyelaras keperluan utiliti secara rentas sektor bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih tersusun, cekap dan proaktif.
“Kita sebagai entiti yang menyelaras pelaksanaan utiliti di negeri ini akan terus komited memacu anjakan struktur tadbir urus pembangunan yang lebih berkesan demi manfaat rakyat,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.