Pelan induk perindustrian bawa impak positif pelaburan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 23 November – Tiga kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan Kerajaan Negeri Melaka perlu mengutamakan misi, strategi dan pelan tindakan yang digariskan di dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga aspek itu dilihat mampu membawa perubahan positif kepada sektor perindustrian Melaka selain mematuhi Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (i-ESG) dilancarkan pada Oktober.

“Salah satu pembentangan MITI semasa mesyuarat kali ini adalah mengenai NIMP 2030 iaitu bagaimana dasar baharu ini diselaraskan dengan keperluan pembangunan perindustrian negeri Melaka bagi meningkatkan pertumbuhan industri dan menambahbaik ekosistem pelaburan.

“Pembentangan mengenai NIMP ini bersesuaian dengan cadangan-cadangan yang diketengahkan Kerajaan Negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu iaitu MCORP Hi-Tech Park, Taman Perindustrian Jerman dan Elkay Industrial Park Fasa 2 (ELKAY 2) serta mengiktiraf Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan lain-lain kenamaan.

Tengku Zafrul berkata inisiatif Kerajaan Negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian yang mampu menyokong ekosistem industri berteknologi tinggi, berinovasi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi sangat dialu-alukan.

“Inisiatif ini selari dengan visi dan matlamat NIMP 2030 dilancarkan MITI pada 1 September lalu. NIMP 2030 juga dirangka untuk mengatasi ketidakseimbangan dalam pembangunan industri antara negeri-negeri di Malaysia, termasuk Melaka.

“Kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam membangunkan industri berdasarkan kekuatan ekonomi negeri dan bekerjasama dengan MITI serta kementerian yang lain untuk mengukuhkan kluster-kluster ekonomi yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi lebih besar.

“MITI akan terus mengukuhkan kerjasama dengan semua kerajaan negeri melalui termasuk platform JBI dalam merancang program pembangunan industri dan galakan eksport.

“Selain memperhalusi cadangan baharu dalam mempertingkatkan pelaburan serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1170
Kongsi :
Previous post Melaka pilihan pelabur Jerman
Next post Iktiraf SM-WEZ sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Nasional – KM
Ubah saiz-+=