Pelancongan pantai di Melaka akan kembali rancak

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Oktober – Pelancongan pantai peranginan di Melaka dijangka kembali rancak bermula 2023 susulan pelbagai perancangan dan strategi sedang dirangka Kerajaan Negeri.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perancangan itu akan memfokuskan kepada tiga pantai utama di Melaka iaitu Pengkalan Balak, Pantai Puteri dan Pantai Siring.

“Antara yang menarik ialah kita merancang aktiviti melibatkan pantai dan pulau di Pantai Siring yang akan kita umumkan nanti.

“Kita percaya melalui perancangan yang dirangka ini, aktiviti laut di Melaka akan lebih rancak lima kali ganda daripada apa yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Melaka By The Sea Carnival 2022 di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka Jay Yeow.

Melaka By The Sea Carnival 2022 merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini dengan kerjasama BPP dan MOTAC selain turut mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Antara program yang diadakan ialah Muay Thai Championship, BMX Bike Challenge, Mr. Tourism Melaka, Tug of War, Beach Volleyball Championship, Melaka By The Sea Fun Run, Arm Wrestling dan Tarik Perahu Competition.

Turut diadakan Melaka By The Sea Concert yang dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi tersohor tanah air seperti Ella, Joey BPR dan lain-lain lagi.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani memaklumkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini setakat Oktober tahun ini sudah melebihi empat juta orang.

Beliau percaya, dengan pelbagai promosi dan galakan pelancongan yang dilaksanakan sehingga hujung tahun ini, Melaka bukan sahaja mampu mencapai sasaran 5.6 juta pelancong, bahkan ia mungkin melebihi daripada sasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6481
Kongsi :
Previous post ‘Muaythai pantai’ bertaraf dunia bakal gegar Melaka tahun depan
Next post Toh Puan Asmah hadir tonton Teater Pukol Anak Sinday Menantu
Ubah saiz-+=