Pelancongan sejarah ‘disegarkan’ sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 12 Mei – Tarikan pelancongan berbentuk sejarah akan diberi nafas baharu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Beliau berkata, itu merupakan antara hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam memangkin pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.

Katanya, antara tumpuan yang akan diberikan ialah untuk membawa masuk artifak dan manuskrip lama, selain menambah baik kualiti muzium di negeri ini.

“Ini termasuk membawa pulang artifak yang berada di luar negara seperti di Belanda dalam usaha menambah baik produk dan kualiti pameran yang ada bagi membolehkan orang ramai tahu tentang sejarah Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Majlis Penutup Bengkel Kelestarian Pameran Kolonial Belanda di Muzium Sejarah dan Etnografi Melaka di Jalan Kota, di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner; Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Pengurus Besar Perzim Fadhilah Md Salleh.

Mengulas mengenai penganjuran bengkel itu, Zaidi menyifatkan ia merupakan inisiatif berkesan dalam menambah baik kualiti pameran muzium-muzium di negeri ini.

Katanya, menerusi bengkel itu juga, delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut diundang ke Belanda bagi mendalami aspek sejarah dan pengetahuan yang boleh diterokai sebagai penambahbaikan masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Bedah siasat temui empat kesan tikaman
Next post Belanda sedia bantu Melaka bawa pulang artifak era penjajahan
Ubah saiz-+=