Bedah siasat temui empat kesan tikaman

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 11 Mei – Laporan bedah siasat ke atas lelaki yang maut dalam pergaduhan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini, kelmarin menemukan empat kesan tikaman.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan itu diperoleh pihaknya selepas proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa yang juga seorang pengurus syarikat berusia 32 tahun.

“Daripada hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat empat kesan tikaman iaitu di rusuk kiri dan kanan yang mana satu daripada tikaman itu mengenai hati serta satu lagi terkena pada bahagian jantung selain satu lagi tikaman dibahagian belakang badan.

“Selain punca kematian mangsa adalah disebabkan tikaman dibahagian jantung,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan turut mendapati kejadian turut berpunca daripada tindakan mangsa yang berbual lucah mengenai seorang pelanggan wanita.

“Siasatan awal dikatakan mangsa dikatakan bercakap dengan rakannya mengenai saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan gerai namun siasatan lanjut kemudian turut dimaklumkan lelaki itu turut bercakap mengenai punggung perempuan itu,” katanya.

Beliau berkata, senjata kes terbabit iaitu sebilah pisau lipat ditemui di dalam bakul motosikal milik salah seorang suspek di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, pergaduhan mulut di antara sekumpulan lelaki berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut ditikam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 pagi selepas mangsa dan rakan-rakannya yang dipercayai mabuk pulang dari sebuah pusat hiburan.

Semalam, sembilan suspek termasuk seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4741
Kongsi :
Previous post Masyarakat perlu fahami peranan sebenar EAIC
Next post Pelancongan sejarah ‘disegarkan’ sempena TMM2024
Ubah saiz-+=