Pemain industri aeroangkasa perlu capai standard AS9100

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Syarikat dalam industri aeroangkasa beroperasi di negeri ini disarankan mengambil peluang keemasan dengan melaksanakan standard pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangksa AS9100:2016 bagi memenuhi piawaian antarabangsa.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, AS9100:2016 adalah standard pelaksanaan sistem pengurusan yang diguna pakai dalam industri penerbangan, angkasa dan organisasi pertahanan.

Katanya, selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), semua pemain industri tempatan dalam sektor itu dijangka mendapat manfaat daripada pensijilan yang dikeluarkan oleh Sirim Qas International Sdn. Bhd.

Berikutan itu Ab Rauf berharap pihak berkenaan mengambil peluang keemasan dengan menjayakan inisiatif kerajaan bagi memastikan industri aeroangkasa negara termasuk di Negeri Melaka memenuhi piawaian antarabangsa dan berkembang ke peringkat global.

“Sekiranya pelabur baharu dalam industri aeroangkasa ini masuk ke Negeri Melaka, kita (juga) akan minta Sirim mengendalikan kursus ini bagi menjamin syarikat itu, demi menjaga kualiti kemahiran pekerja untuk bersama-sama industri (aeroangkasa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan penutup Seminar On Aerospace 2023 anjuran Sirim Berhad yang mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri menerusi Invest Melaka, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sirim Qas International, Nur Fadilah Muhammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Datuk Ramli Mohd Ali.

“Penganjuran seminar ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Sirim Berhad. Hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai hab aeroangkasa bukan sahaja ketika zaman saya (menerajui portfolio perindustrian dan pelaburan) malah sejak daripada pemimpin terdahulu lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1470
Kongsi :
Previous post Tiga kali khatam sejak kenali Al Quran di usia 6 tahun
Next post Khatam al-Quran mantapkan elemen j-QAF
Ubah saiz-+=