DUN Pengkalan Batu : Pemandu teksi patriotik

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 10 Ogos – Seramai 40 pemandu teksi di Melaka Sentral, di sini, dipilih sebagai ‘duta’ kibarkan Jalur Gemilang sempena Program Merdeka @ Komuniti bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, inisiatif yang dilaksanakan bersama Jabatan Penerangan (Japen) negeri Melaka dan Japerun Pengkalan Batu bertujuan menyemarakkan lagi semangat mengibarkan Jalur Gemilang.

“Pemandu teksi ini orang yang paling dekat dengan masyarakat jadi apabila mereka mula kibarkan Jalur Gemilang, secara tidak langsung akan menarik perhatian orang ramai.

“Jadi secara tidak langsung memberi semangat kepada orang ramai untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang, tidak kira dipasang pada kenderaan, kediaman atau premis perniagaan.

“Kita bersama-sama dengan Japen mengagihkan Jalur Gemilang kepada pemandu teksi, Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) juga akan agihkan selain dipasang pada bas bagi menyuntik lagi semangat patriotisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang yang turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin di Terminal Teksi Melaka Sentral, semalam.

Sementara itu, Kalsom yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, sempena Bulan Kebangsaan ini Japerun Pengkalan Batu mengagihkan kira-kira 2,000 Jalur Jemilang sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk dikibarkan.

“Kita mahukan Jalur Gemilang ini dipasang bagi menunjukkan rasa cinta terhadap tanah air selain mendidik generasi muda akan semangat patriotisme.

“Malah kami Japerun Pengkalan Batu juga akan melakukan rondaan bagi memastikan tiada Jalur Gemilang yang lusuh atau koyak terus dikibarkan. Sekiranya ada kami akan gantikan dengan Jalur Gemilang baharu,” katanya.

 

Views:

1185
Kongsi :
Previous post Daki Gunung Melaka, Bukit Batu Lebah perlu guna khidmat MGP
Next post ILI di Melaka terkawal
Ubah saiz-+=