Pembangunan M-WEZ tidak jejas status UNESCO

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 3 Sept –  Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) tidak akan menjejaskan status negeri ini sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar berkata jaminan itu diberikan kerana kerajaan negeri Melaka telah membuat pelbagai prosedur mengikut garis panduan serta syarat ketat daripada UNESCO dan Jabatan Warisan Negara bagi mengelakkan kesan negatif.

Katanya, pembinaan projek koridor ekonomi baharu itu juga turut melalui fasa kajian Penilaian Dampak Alam Sekitar (EIA) bagi mengelakkan impak buruk pada ekosistem.

“Kewujudan M-WEZ ini salah satu faktornya kita ambil kira status Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di Bandar Melaka ini dan secara keseluruhan kawasan pembangunan M-WEZ ini tidak termasuk dalam kawasan utama UNESCO.

“Sekiranya ada pembinaan menyentuh kawasan UNESCO itu, ia hanyalah termasuk dalam kawasan zon penampan dan syarat Heritage Impact Asessment (HIA) seperti ditetapkan telah pun kita laksanakan bagi mengelakkan kita kehilangan status terbabit.

“Suka saya nyatakan dalam pembangunan projek tambak laut ini, syarikat konsesi telah membuat kajian dan melihat keperluan dari segi nilai sejarah serta keperluan dan sebagainya, jadi saya yakin pembangunan M-WEZ ini tidak akan menjejaskan status Melaka sebagai salah satu negeri mempunyai Tapa Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bicara City Expo Malaysia (CEM) menerusi platform atas talian, hari ini.

Untuk rekod, M-WEZ secara rasminya telah dilancarkan pada 8 April lalu di Kuala Lumpur yang mana pembangunan koridor itu bertujuan mewujudkan pembangunan yang mapan dan berdaya maju dalam menarik pelaburan domestik dan asing menerusi revolusi industri 4.0, disokong oleh teknologi pintar dan hijau.

M-WEZ bakal menjadi koridor pertama di pesisir pantai Selat Melaka dengan keluasan 10,117 hektar (25,000 ekar) sepanjang 33 kilometer pesisir pantai dari Tanjung Kling hingga ke Telok Mas membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar.

Zon ekonomi itu akan menarik lebih dari RM100 bilion pelaburan dari seluruh dunia dalam jangka masa 15 tahun selain menghasilkan lebih 20,000 peluang pekerjaan baru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1067
Kongsi :
Previous post Terap semangat merdeka seawal usia tujuh tahun
Next post JPJ Melaka tutup 7 hari akibat COVID-19
Ubah saiz-+=