Pembangunan semula Melaka Sentral bawa limpahan ekonomi

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 1 Okt – Pembangunan semula terminal bersepadu Melaka Sentral di Peringgit di sini akan menjadi anjakan besar dalam agenda pembangunan negeri.

Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin berkata, kewujudan zon ekonomi baharu yang dibangunkan dengan kos RM3.5 bilion itu akan memberi limpahan rezeki kepada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, selain menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, hab pengangkutan dan komersial itu juga akan dipastikan memberi keutamaan dan manfaat kepada syarikat-syarikat kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaannya.

“Sudah tentu projek ini akan meningkatkan taraf ekonomi rakyat negeri Melaka. Antaranya penyediaan lebih 300 lot perniagaan yang akan memberi peluang perniagaan kepada rakyat negeri ini.

“Saya juga sudah pesan kepada pemaju iaitu Goodyield Development Sdn Bhd (GDSB) supaya memberi keutamaan kepada kontraktor-kontraktor tempatan.

“Apa guna kita ada pembangunan yang besar kalau syarikat tempatan tidak dapat nikmat darinya. Pihak pemaju juga telah bersetuju memperuntukkan beberapa peratus kerja-kerja pembinaan untuk tujuan itu,” katanya.

LAKARAN Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral menggunakan konsep Bunga Kesidang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral antara MSSB dan GDSB, di Kompleks Seri Negeri yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamed; Pengurus Besar MSSB, Abu Bakar Jani dan Ahli Lembaga Pengarah GDSB, Datuk Muhammad Hafidz Nuruddin; Pengarah Urusan GDSB, Zahrin Haris dan Ketua Pegawai Eksekutif GDSB, Wellen Remy Rizal.

Wira Hasnoor berkata, projek yang dibina di atas tapak seluas 18 ekar itu akan menempatkan lima bangunan terminal utama (sektor), pusat beli belah, kediaman kondominium dan lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.

Projek yang akan bermula pada Jun 2022 itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029 dan akan menjadi terminal pengangkutan terbesar dan tercanggih di negara ini.

Hasnoor turut berharap pembangunan itu akan dipenuhi dan ditepati oleh GDSB sebagai syarikat pelabur dan pemaju.

“Saya berharap kepada pihak Goodyield akan memenuhi janji-janji dan semoga projek ini benar-benar menjadi kenyataan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1246
Kongsi :
Previous post 3.7 peratus lagi untuk capai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa
Next post Melaka Sentral adaptasi reka bentuk pasca COVID-19, teknologi 5G
Ubah saiz-+=