Melaka Sentral adaptasi reka bentuk pasca COVID-19, teknologi 5G

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 1 Okt – Pembangunan semula terminal pengangkutan Melaka Sentral yang menelan kos pembinaan RM3.5 bilion di Peringgit di sini akan mengadaptasi reka bentuk ‘pasca Covid-19’ dan teknologi 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Goodyield Development Sdn Bhd (GDSB) Wellen Remy Rizal selaku syarikat pemaju dilantik berkata, hab pengangkutan dan pusat komersial itu dibina dengan mengambil kira keperluan norma baharu masyarakat dalam mengekang penularan COVID-19.

“Cadangan pembangunan Melaka Sentral ini kita reka dan kemaskan dengan konsep pasca COVID-19 untuk kesesuaian cara hidup menjalani norma baharu pada zaman pandemik.

“Pembangunan projek ini dirancang secara berbeza dengan menggantikan ruang yang rapat dan sempit dengan lebih banyak binaan terbuka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral di Kompleks Seri Negeri.

SULAIMAN menyaksikan pertukaran dokumen antara Hasnoor (kiri) dan Muhammad Hafidz (kanan) pada perjanjian usahasama tersebut.

Majlis melibatkan Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) dengan GDSB itu disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar MSSB, Abu Bakar Jani dan Ahli Lembaga Pengarah GDSB, Datuk Muhammad Hafidz Nuruddin; Pengarah Urusan GDSB, Zahrin Haris.

Mengulas lanjut Remy Rizal berkata, selain mengoptimumkan faktor ruang, keseluruhan bangunan yang turut menempatkan unit kediaman kondominum setinggi 38 tingkat itu juga dibina dengan memaksimumkan kemudahan berteknologi 5G.

“Projek Melaka Sentral dibangunkan dengan konsep teknologi 5G terbina dalam, berbeza dengan bangunan-bangunan lain yang dibina tanpa memikirkan potensi teknologi itu.

“Ini termasuk adaptasi teknologi 5G yang akan digunakan secara menyeluruh sama ada dari pihak pengurusan bangunan, peniaga dan juga pengunjung,” katanya.

LAKARAN Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral menggunakan konsep Bunga Kesidang.

Tambahnya, projek Melaka Sentral itu dibangunkan bertema ‘5 Kelopak Bunga Kesidang’ yang merupakan bunga rasmi Kerajaan Negeri Melaka.

“Terminal ini dipecahkan kepada lima sektor utama yang setiap satunya dihubung dengan laluan penyambung termasuk jejantas, laluan pejalan kaki dan basikal,” jelasnya.

Projek yang dibina di atas tapak seluas 18 ekar itu bakal menempatkan lima bangunan terminal utama, pusat beli belah, lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.

Projek akan bermula pada Jun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1352
Kongsi :
Previous post Pembangunan semula Melaka Sentral bawa limpahan ekonomi
Next post MRC destinasi utama pilihan pelancong domestik di Melaka tahun lalu
Ubah saiz-+=