MRC destinasi utama pilihan pelancong domestik di Melaka tahun lalu

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 1 Okt. – Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan Melaka River Cruise (MRC) adalah destinasi utama dikunjungi pelancong domestik di negeri ini, tahun lalu.

Menurut laporan Prestasi Pelancongan Domestik Mengikut Negeri 2020, selain MRC, Pengkalan Balak, Muzium Adat Istiadat dan Tradisi, Taman Rama-rama dan Reptilia dan bangunan A’ Famosa turut menjadi tarikan bagi pelancong domestik.

“Sebanyak 50.5 peratus pelancong domestik datang ke Melaka untuk mengunjungi rakan dan keluarga, manakala sebanyak 47 peratus lagi berkunjung untuk bercuti dan rekreasi.

“Selain itu, 1.1 peratus lagi datang ke Melaka atas urusan perniagaan atau lawatan bagi pendidikan rasmi,” menurut laporan DoSM semalam.

DoSM berkata, selain Melaka tempat pelancongan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak turut menjadi pusat tumpuan pelancong domestik yang datang bercuti pada tahun lalu.

“Bagi Selangor, destinasi utama yang dikunjungi pelancong adalah Zoo Negara, Pantai Morib, Sunway Lagoon, Pantai Bagan Lalang dan IOI City Mall.

“Destinasi utama pelancong di Kuala Lumpur pula adalah pusat beli belah meliputi Pavilion Kuala Lumpur, Pasar Seni, Sogo, Berjaya Times Square and the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

“Di Sarawak pula lokasi tumpuan adalah pusat beli belah seperti di Sibu Central Market, Vivacity Megamall, Wisma Sanyan, Buntal Esplanade dan Tanjung Batu beach,” katanya.

MELAKA River Cruise

Ketiga-tiga negeri ini mencatatkan pendapatan tertinggi pelancongan domestik tahun lalu dan majoriti pelawat memberi alasan kehadiran mereka kerana melawat rakan dan keluarga.

“Selangor mencatatkan 67.1 peratus kedatangan pelancong domestik, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 37.9 peratus dan 59.4 peratus di Sarawak.

“Antara sebab utama pergi melancong adalah bercuti dan rekreasi (18.8 peratus di Selangor, 36.1 peratus di Kuala Lumpur, dan 27.4 peratus di Sarawak), selain membeli-belah (7.6 peratus di Selangor, 16.9 peratus di Kuala Lumpur dan 6.5 peratus di Sarawak),” menurut laporan itu.

Sementara itu, data DoSM juga mencatatkan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan berpendapatan tinggi yang terkenal serta banyak lokasi yang menjadi tumpuan pelancong domestik.

“Lokasi yang sering dikunjungi oleh pelancong domestik ini adalah kawasan persisiran pantai seperti pantai Desaru, pantai Tanjung Batau, Telok Gorek, pantai Minyak Beku dan Sedili Besar.

“Sebanyak 75.4 peratus pelancong domestik datang ke Johor untuk mengunjungi rakan dan keluarga, manakala 18 peratus darinya datang untuk bercuti dan dan rekreasi.

“Diikuti 3.5 peratus lagi perjalanan insentif atau lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1683
Kongsi :
Previous post Melaka Sentral adaptasi reka bentuk pasca COVID-19, teknologi 5G
Next post Melaka Fasa 3: Majlis sosial, kelab malam masih tidak dibenarkan – MKN
Ubah saiz-+=