
PEMBELIAN TANAH PERKUBURAN ISLAM KAMPUNG MUSAI DIJANGKA SELESAI TIDAK LAMA LAGI
PENGKALAN BATU 4 Ogos – Kesudian individu berketurunan Cina, menjual tanah miliknya bagi tapak Tanah Perkuburan Islam Kampung Musai pada tawaran lebih rendah berbanding harga penilaian pasaran semasa menggambarkan sikap toleransi dan semangat perpaduan yang sentiasa subur di bumi Melaka.
Difahamkan tanah berkeluasan 0.24 ekar itu ditawarkan pada harga RM400,000 oleh pemilik asal meskipun penilaian semasa adalah sebanyak RM835,325.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sikap pemilik tanah yang memberikan diskaun sebanyak 50 peratus bagi proses pembelian berkenaan amat menyentuh hati dan perasaan masyarakat Islam.
“Saya juga agak tersentuh dengan perkara ini kerana ia memberikan manfaat kepada umat Islam sekitarnya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Dewan Terbuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Seri Cempaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu, di Taman Seri Cempaka, sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk kalsom Noordin serta Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong
Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Terdahulu beliau turut singgah ke tanah perkuburan berkenaan bagi mendegar taklimat Taklimat status tanah kubur Kampung Musai disampaikan oleh Ketua Unit Hartanah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Effandi Othman Kamal shah.
Proses mengumpul dana bagi pembelian tanah berkenaan kini giat dijalankan menerusi Tabung Saham Wakaf MAIM Masjid Al Ibadah Bukit Piatu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


