Pemberian awal ganjaran GCR, pegawai perlu penuhi syarat

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Penjawat awam yang memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan berhasrat memohon pemberian awal ganjaran wang tunai gantian cuti rehat (GCR) perlu memenuhi beberapa syarat.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui kenyataan hari ini memaklumkan antara syarat yang ditetapkan adalah tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun dan pegawai telah mencapai umur 45 tahun.

“Selain itu, jumlah GCR yang terkumpul sebelum permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai itu hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari, selain bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib dan mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan,” menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 bersetuju menaikkan jumlah hari maksimum GCR daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai bulan ini.

JPA memaklumkan sekiranya pegawai telah mengumpul GCR melebihi 160 hari, lebihan yang terkumpul itu boleh digunakan oleh pegawai sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

Menurut kenyataan itu juga, jumlah maksimum pengumpulan GCR yang boleh dibayar ganjaran wang tunai sepanjang tempoh perkhidmatan adalah 160 hari.

“Pemberian awal ganjaran wang tunai GCR sebanyak 80 hari hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan pegawai, manakala baki 80 hari yang terkumpul akan dibayar pada tahun persaraan wajib pegawai,” katanya.

Ketua jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan yang tepat bagi pemberian awal ganjaran wang tunai tersebut.

“Ketua jabatan juga perlu memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tahun perkhidmatan pegawai adalah betul dan teratur sebagaimana kehendak peraturan yang berkuat kuasa,” kenyataan itu memaklumkan.

Semua dokumen permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR yang telah diperakukan hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA dan Surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2491
Kongsi :
Previous post 16 pasukan ragbi lepas geram
Next post Kerajaan setuju RTM runding dapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022 – Annuar
Ubah saiz-+=