Pembinaan Taman Tema Upin Ipin di Melaka sedang diteliti

BANDARAYA MELAKA 17 Ogos – Cadangan pembinaan Taman Tema Upin Ipin sedang diteliti Kerajaan Negeri untuk dijadikan sebagai salah sebuah produk pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini menerima cadangan daripada sebuah syarikat animasi tempatan untuk pembinaan taman tema itu dan menyambut baik cadangan itu untuk direalisasikan di Melaka.

Katanya, perkara itu bagaimanapun masih dalam penelitian serta penilaian dan pihaknya akan memberi kerjasama supaya pembinaan taman tema itu dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Keunikan Melaka dengan tarikan pelancongan menjadikan kita menerima banyak cadangan untuk membina taman tema di sini sebelum ini iaitu daripada Les’ Copaque Production Sdn Bhd baru-baru ini.

“Ia antara syarikat yang baharu saja mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri dan meyakini pembinaan taman tema ini mampu bersaing seperti taman tema Walt Disney (Disneyland).

“Karakter animasi negara ini cukup dikenali di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa terutama di negara Indonesia dan saya yakin ia dapat dijadikan kenyataan sekali gus menjadikan taman tema ini sebagai tarikan pertama di Malaysia yang ada di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi tetamu pada konti Program Bicara Ketua Menteri @ Konti Melaka FM di Pejabat Radio Televisyen Malaysa (RTM) Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan taman tema terbabit dicadangkan dibina di Alor Gajah dan lokasi itu mampu memperkasa industri pelancongan dalam daerah itu.

“Kita cadangkan ia akan dibina di Daerah Alor Gajah dan berdekatan dengan kawasan Masjid Tanah kerana kawasan di sana mempunyai daya tarikan lain seperti Freeport A Famosa Outlet (FAO) serta pelbagai lagi dan ia akan menambahkan lagi produk pelancongan di luar bandar.

“Kalau kita buat di kawasan Bandaraya Melaka akan menambahkan lagi kesesakan jadi kita alihkan supaya pembahagian sektor pelancongan terus diperluaskan dan mesti dibahagikan sama rata di setiap kawasan di Melaka.

“Kos pembinaan masih sedang dibincangkan termasuk urusan mencari pelabur, perkara ini amat menarik dan kita sudah kenal pasti Taman Tema Upin Ipin yang dicadangkan itu dibina di kawasan tanah seluas 40.5 hektar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1764
Previous post Rumah cendawan ‘jana’ duit poket pelajar
Next post Melaka sasar pelaburan bernilai lebih RM8.2 billion tahun ini