Pembuatan bot fiber berpotensi menyumbang ekonomi Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 13 Feb- Kerajaan negeri memuji langkah empat beradik mengembangkan industri pembuatan bot fiber yang dilihat berpotensi melestarikan ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata langkah itu sebagai usaha untuk memantapkan lagi ekonomi dalam industri itu di negeri ini.

Katanya yang merujuk kepada sebuah syarikat anak tempatan membuat kapal yang dilihat mampu berkembang lebih jauh.

“Saya sangat berbangga melihat pencapaian Seafarer Explorer Group diketuai empat beradik ini kerana bukan sahaja menjalankan perniagaan, malah turut mempunyai kumpulan kebajikan, Team Rescue Seafarer Explorer untuk membantu mangsa-mangsa yang berdepan dengan bencana banjir tempoh hari.

“Saya sarankan untuk lebih ramai rakyat di negeri mengikuti jejak langkah mereka sekali gus dapat juga menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kilang Explorer Komposit di Pulau Gadong, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain.

SULAIMAN (tengah) merasmikan Kilang Explorer Composite Sempena Tahun ke-41, di Pulau Gadong.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kilang yang sudah beroperasi lebih 40 tahun itu bermula dari minat mendalam dengan hanya bermula dari hobi dalam bidang bot.

“Tertubuhnya kilang ini hanya dengan bermulanya hobi dan minat dalam
bidang bot, memancing dan sebagainya sehingga berjaya menjadi pengeluar bot fiber berteknologi komposit di Melaka.

“Ini bermakna, jika kita mempunyai minat, kita jangan biarkan minat itu terkubur, malah kita perlu menggunakan minat itu
untuk memajukan diri dan kehidupan kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1842
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes baharu menurun kepada 21,072
Next post KPLB peruntuk RM10 juta bagi program peningkatan pendapatan tahun ini
Ubah saiz-+=