KPLB peruntuk RM10 juta bagi program peningkatan pendapatan tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA NERANG, 13 Feb – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata menerusi peruntukan itu golongan sasar daripada Kumpulan B40 luar bandar diberikan bantuan peralatan dan latihan bagi membantu mereka menjalankan perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan.

“Program ini juga membantu usahawan kecil memiliki kios sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka. Ini dilaksanakan menerusi Bantuan Warung Desa@KPLB di bawah PPP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir berkata menerusi PPP peserta akan menerima bantuan peralatan dengan kos maksimum sehingga RM10,000 setiap seorang dan pada tahun lepas seramai 564 orang mendapat manfaat program itu.

Bagi bantuan PPP tahun ini, Mahdzir berkata ia dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara dengan sasaran 950 orang peserta.

“Ini termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB yang dianggar melibatkan 300 orang penerima dengan peruntukan RM2 juta,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan Warung Desa@KPLB di negeri ini, Mahdzir berkata bagi fasa pertama tahun ini seramai 15 usahawan akan menerima bantuan itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM75,000.

“Program bantuan Warung Desa@KPLB di negeri ini dilaksanakan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan pada tahun ini program ini dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Padang Terap dan Sungai Petani sebagai permulaan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

661
Kongsi :
Previous post Pembuatan bot fiber berpotensi menyumbang ekonomi Melaka – Sulaiman
Next post 11 mati lemas dihanyutkan ombak besar di laut Indonesia
Ubah saiz-+=