Pemuda tak gerun pegang ular berbisa
AYER LIMAU 3 Mac – Seorang pemuda menggunakan kemahiran ‘bermain’ ular sejak tiga tahun lalu untuk mengalihkan seekor ular katam tebu yang mengancam sekumpulan pemancing dalam kejadian di tebing Sungai Ramuan Cina, Kampung Paya Lebar, di sini.
Terdahulu dalam kejadian jam 10 pagi Muhammad Azan Ramli, 26, sedang memancing udang galah di sungai berkenaan dikejutkan dengan jeritan sekumpulan pemancing lain yang juga rakannya kerana berasa terancam dengan kehadiran reptilia dikategorikan sebagai berbisa itu.
“Ketika itu saya yang berada di dalam bot segera merapat ke tebing dan dapat melihat dengan jelas seekor ular katam tebu terjuntai di dahan pokok.
“Menggunakan kemahiran yang ada saya tangkap reptilia itu sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya iaitu kawasan hutan bakau berhampiran,” katanya.
Muhammad Azan berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berikutan lokasi berkenaan menjadi tumpuan kaki pancing.
“Selain reptilia berbisa, lebah juga ancaman utama kepada kaki pancing. Serangga itu kerap bersarang di pokok sekitar kawasan ini, jadi kena berhati-hati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.