PENAMA perjuang penulisan pelbagai genre

Masa Membaca:3 Minit, 4 Saat

BUKIT BARU, 22 Dis – Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) mempunyai sejarah perjuangan yang panjang sejak ia ditubuhkan pada tahun 1970 dengan berbagai misi dan visi sesuai dengan peranannya yang masih relevan dalam zaman yang serba mencabar ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar berkata, warga PENAMA yang dianggotai para penulis dan golongan wartawan telah memberikan nafas kepada media massa, termasuk akhbar yang diterbitkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, usaha untuk melihat perkembangan dunia penulisan tempatan termasuk penulisan sastera, budaya serta dunia kepengarangan masa kini banyak dimainkan oleh warga PENAMA itu sendiri.

“Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang yang baik dan kelebihan yang ada ini boleh digunakan oleh mana-mana persatuan pun.

“Dalam soal ini, kepentingan penulis adalah paling utama dan segala bentuk kolaborasi jika digunakan sebaiknya, boleh mendapat manfaat yang besar,” katanya.

Latipah berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENAMA di Dewan Hang Tuah Perpustakaan Negeri Melaka (PERPUSTAM), baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dan Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Turut hadir, Ketua 1 PENAMA, Datuk Wira Othman Muhamad, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Menurut Latipah lagi, PENAMA dianggotai ahli yang memiliki pelbagai kecenderungan dan tidak hanya didominasi oleh orang muda sahaja sebaliknya membentuk persatuan dengan kombinasi ahli-ahli yang mempunyai pelbagai latar belakang menarik.

“Oleh itu, Persatuan PENAMA ditubuhkan untuk menyebarkan konsep perpaduan yang bergiat aktif dalam banyak penganjuran acara berprestij seperti Malam Puisi Sungai bersempena dengan Festival Antarabangsa sungai Melaka serta menjayakan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri sejak tahun 1987 semasa Allahyarham Tun Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Bersempena dengan majlis yang bersejarah yakni genap usia 50 tahun PENAMA, saya menyeru kepada semua khususnya ahli PENAMA supaya terus berusaha menjadi penulis yang prihatin untuk mendalami masalah masyarakat, bangsa, negara dan agama supaya karya yang dihasilkan tidak bercanggah dengan fakta,” katanya.

Tambah Latipah lagi, pada sisi lain pula para penulis juga disarankan supaya memiliki kemahiran pemetaan masalah dan pembangunan plot sewaktu menulis cerpen, drama atau novel supaya cerita berkembang dengan sempurna, diperkukuh dengan bahasa yang tepat dan indah bagi menepati konteks penceritaan dan pemberitaan.

“Saya berharap, dalam kita berkarya, berikanlah penekanan kepada unsur-unsur dakwah dengan menyeru amar makruf nahi mungkar agar setiap sudut bacaan atau ilmu yang disampaikan itu benar-benar memberi manfaat kepada si pembaca.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, saya akan memberikan sokongan yang padu kepada PENAMA yang tidak jemu-jemu ingin memajukan ahli-ahlinya dalam kegiatan yang selari dengan kemajuan industri kreatif negara dan negeri sebagai usaha untuk menggamit dan menggalakkan para pembaca untuk terus membaca, dan penulis untuk terus menulis,” ujarnya lagi.

Sementara itu Othman pula berkata, pada tahun 1982, pentadbiran kerajaan Negeri Melaka mengasaskan akhbar Medan Rakyat yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Melaka.

“Suara Melaka kemudiannya dijenamakan sebagai Melaka Minggu Ini (MMI), seterusnya pada masa sekarang, akhbar ini dikenali sebagai Melaka Hari Ini (MHI).

“Selaku pengasas dan penggiat utamanya, saya dan sahabat Hamid Jins dan NS Maniam, membentangkan
konsep penerbitan akhbar ini kepada kerajaan negeri supaya ia menjadi lidah rasmi kerajaan dalam menyampaikan amanat pemimpin, melaporkan kegiatan penduduk selain menyediakan ruang cerpen, sajak, rencana dan berita untuk karyawan muda menyalurkan bakat menulis,” katanya.

Othman turut terbuka PENAMA menerima keahlian dan sangat mengalu-alukan orang muda menyertai persatuan ini di samping dapat menerima kepelbagaian pendapat dan idea.

“Kami tiada halangan bahkan PENAMA pun tidak pernah duduk di bawah satu ideologi politik atau idealisme yang rigid kerana kami mengamalkan keterbukaan.

“Pada saya, PENAMA saling lengkap-melengkapi kerana pada akhirnya kita menuju matlamat yang sama,” katanya.

Views:

1277
Kongsi :
Previous post Malaysia meterai perjanjian peroleh 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca
Next post ‘Sekolah kampung’ johan bola sepak
Ubah saiz-+=