‘Sekolah kampung’ johan bola sepak

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

MACHAP 22 Dis. – Walaupun bukan berstatus sekolah elit di kawasan bandar, itu bukan penghalang buat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah untuk menjuarai Liga Bola Sepak Pusat Latihan Daerah (PLD) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kategori bawah 17 tahun.

Ketua Jurulatihnya, Azrul Affandi Borhan berkata, biarpun skuad kendaliannya berasal dari sekolah pinggiran bandar, namun mereka berjaya membuktikan pasukan mereka setanding sekolah elit yang lain dalam melahirkan bakat bola sepak yang mempunyai potensi besar.

Menurutnya, sejak sekolahnya menerima undangan jemputan mewakili Daerah Alor Gajah bagi menyertai pertandingan itu, pihaknya tidak menoleh kebelakang dan berusaha keras dalam mencapai hasrat mengharumkan nama sekolah dan mempamerkan bakat sebenar ‘budak kampung’ yang dilatihnya.

AZRUL Affandi

“Apabila menerima undangan tersebut pihak sekolah terus memberi sokongan padu dalam usaha ini malah biarpun sekolah tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti dalam musim pasca pandemik COVID-19 ini kami mencari jalan terbaik bagi memastikan semangat murid pasukan ini tercapai.

“Bagaimanapun pihak sekolah tetap meneruskan latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kami mengambil inisiatif dengan menggunakan padang awam di kawasan taman perumahan berhampiran bagi memastikan pasukan ini menjalani latihan yang mencukupi bagi mencapai beberapa kemahiran dalam sukan bola sepak.

“Dan akhirnya kerja keras itu menampakkan hasilnya dan berjaya menunjukkan potensi murid dari sekolah ini untuk menjadi pelapis dalam sukan bola sepak,” katanya.

Terdahulu, SMK Seri Pengkalan muncul juara bawah 17 tahun kejohanan berkenaan selepas menewaskan SMK Tinggi Melaka menerusi gol tunggal hasil sepakan penalti dalam aksi final di Stadium Hang Jebat.

Gol kemenangan SMK Seri Pengkalan itu dijaringkan kapten pasukan, Muhammad Al Sidiq Mohd Jafri, 17.

MUHAMMAD Al Sidiq

Sementara itu, Muhammad Al Sidiq yang ditemui Melaka Hari Ini mengakui seakan masih bermimpi dan sukar mempercayai kejayaan yang diraih pasukannya itu apatah lagi kejuaraan ini merupakan kejuaraan kedua diraih mereka untuk tahun ini.

Lebih manis, katanya, kedua-dua kemenangan itu diraih selepas menewaskan sekolah-sekolah elit.

“Sepanjang lima tahun saya mengikuti pasukan ini kami tidak pernah juara dan kali ini merupakan hadiah terhebat buat saya kerana tahun ini juga sebanyak dua kali kami mengungguli anugerah seperti ini.

“Pada awal tahun lalu juga kami turut menjuarai pada pertandingan bola sepak yang diadakan di Sekolah Menengah Sains (SMS) Muar merupakan kenangan paling hebat sejak saya menuntut di sekolah ini sejak lima tahun lalu,” katanya.

Bagi seorang lagi pemain Muhammad Hilmi Abd. Talib, 17 menyifatkan kejayaan tersebut sebagai yang terbesar pernah diraihnya bersama 20 pemain lain selepas mengharungi lima kali pusingan dalam kejohanan ini.

“Kami bermula baik dengan menang tipis 1-0 dengan SMK Tinggi Melaka di pusingan pertama dan menang 1-0 juga di pusingan kedua menewaskan SMK Munsyi Abdullah.

“Namun pada pusingan ketiga dan keempat kami kurang bernasib baik apabila tewas 0-1 di tangan SMK Seri Kota dan seterusnya seri 1-1 dengan Cheng Football Club (FC).

“Walaupun sedikit tertekan dengan keputusan pusingan ketiga dan keempat, kami berjaya menebus kekecewaan itu di pusingan akhir apabila menang ke atas SMK Tinggi Melaka hasil jaringan penalti oleh Muhammad Al-Sidiq. Ia satu kemenangan yang tidak disangka oleh kami semua,” katanya.

Kejayaan tersebut turut mendapat perhatian Pengetua SMK Seri Pengkalan Mahfudzah Mohamed Noor yang merakamkan rasa bangga di atas kemenangan tersebut meskipun sekolah berkenaan bukan dalam senarai sekolah yang menjalani program pelapis itu.

Katanya, sokongan padu dari ibu bapa dan guru merupakan kunci kepada kejayaan pasukan itu dalam membentuk sebuah pasukan yang mampu ke hadapan dengan disiplin yang sering dititikberatkan.

“Pihak sekolah bersyukur dengan kejayaan ini dan berharap agar kejayaan ini mampu dipandang pihak terlibat bagi memastikan bakat murid sekolah ini mampu dimartabatkan bagi mengekalkan pelapis muda yang berbakat dalam sukan berkenaan.

“Kita harap dengan kejayaan ini mampu memberi suntikan semangat kepada ahli pasukan yang lain biarpun sekolah ini merupakan sekolah di luar bandar bagaimanapun mampu menempa nama ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Views:

2519
Kongsi :
Previous post PENAMA perjuang penulisan pelbagai genre
Next post Pekerja pusat jagaan didakwa lakukan amang seksual
Ubah saiz-+=