Aidilfitri: Penangan raya 2022, mekanik tidak menang tangan
KRUBONG 2 Mei- Mekanik di bengkel-bengkel sekitar negeri ini tidak menang tangan apabila pelanggan mula berpusu-pusu menghantar kenderaan untuk membuat persediaan di saat akhir sebelum memulakan perjalanan jauh.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah bengkel di Krubong mendapati lebih lima kereta dihantar namun hanya seorang sahaja mekanik yang perlu melakukan kerja servis dan penyelenggaraan.
Pemilik Bengkel Baroqah, Muhammad Asyraf A. Rahim, 31, berkata bengkelnya mula sibuk pada minggu kedua puasa apabila rata-rata pelanggan menghantar kenderaan untuk diselenggara bagi memastikan perjalanan pulang lancar untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, dia yang bekerja sendiri itu menerima tempahan luar biasa apabila ramai yang menghantar untuk membuat servis keseluruhan (major servis).
“Tahun 2022 punya ‘penangan’ lain macam, saya patut dah tutup bengkel hari Khamis, tapi sebab banyak kenderaan perlu disiapkan jadi saya panjangkan tempoh masa sehingga hari ini (Sabtu).
“Nak dibandingkan jumlah kenderaan agak berganda juga, memang tidak menang tangan untuk uruskan semuanya sendiri, syukur ada seorang pekerja separuh masa yang boleh membantu.
“Dan kebanyakan pelanggan yang datang kali ini mereka memberitahu mereka menggunakan duit pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk servis kereta dan sambutan raya kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Berkongsi cerita Muhammad Asyraf berkata, dia terpaksa keluar awal pagi untuk membuka bengkelnya bagi menyiapkan kenderaan-kenderaan pelanggan pada saat-saat akhir sebelum pulang berhari raya di Sabah petang esok.
“Ada pelanggan yang kereta mereka tak pernah servis, itu memang makan masa untuk siapkan, jadi saya terpaksa untuk datang bengkel awal pagi menyiapkan kenderaan-kenderaan pelanggan.
“Saya bersyukur tahun ini lebih baik dari tahun sebelum, ketika itu memang fasa getir ekonomi , bengkel saya ini hampir gulung tikar masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.