Penantian 13 tahun berakhir

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat
PANTAI KUNDOR 1 September – Penantian lebih 13 tahun seramai 37 penghuni kediaman di Batu 9, Pekan Tangga Batu, di sini, berakhir selepas mereka menerima geran hak milik untuk lot tanah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, majlis penyerahan geran kepada semua pemilik lot tanah berkenaan diadakan pada 30 Ogos lalu.
Katanya, permasalahan itu diselesaikan dengan bantuan pelbagai pihak seperti Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM), Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Syarikat Bersekutu Konsortium Bersatu YKIP Sdn. Bhd, Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
WhatsApp Image 2023-09-01 at 1.31.14 PM
TUMINAH ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Tanah pada 30 Ogos lalu di Dewan Japerun Pantai Kundor.
“Pada awalnya, tanah ini merupakan milik syarikat dan perseorangan, kesemua 37 pemohon asal sudah bina rumah diatas tanah terbabit dan mereka (pemohon) sudah menetap bergenerasi lamanya. Apabila pemilik tanah mahu membangunkan kawasan maka mereka (pemohon) perlu keluar, rumah pula akan dirobohkan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya.
“Ketika itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, merupakan Ketua Menteri. Prihatin terhadap nasib pemohon beliau meminta anak syarikat Kerajaan Negeri membantu dengan membeli tanah tersebut.
“Namun pada ketika itu, harga tanah agak tinggi, jadi tiada yang mampu untuk membeli tanah terbabit dan proses menguruskan tanah itu agak berliku. Akhirnya selesai selepas dibantu pelbagai pihak terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Tuminah berkata beliau berasa gembira dapat menyelesaikan isu terbabit.
“Saya gembira dapat membantu menyelesaikan isu ini yang juga antara manifesto saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1185
Kongsi :
Previous post Remaja 17 tahun dituduh bunuh jiran
Next post Bunuh anak: Ibu dan teman lelaki didakwa
Ubah saiz-+=