
PENCAPAIAN STPM MELAKA 2024 MEMBANGGAKAN
AYER KEROH 21 Ogos – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 Negeri Melaka merekodkan pencapaian yang membanggakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, bagi STPM 2024 Melaka merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.88 mata, iaitu meningkat sebanyak 0.07 peratus berbanding 2023.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, peningkatan itu merupakan pencapaian terbaik bagi STPM Negeri Melaka dalam tempoh lima tahun sejak 2020.
“Sementara itu jumlah pelajar memperoleh gred A dalam subjek Sejarah turut meningkat kepada 43 berbanding cuma 24 orang bagi STPM 2023.
“Lebih membanggakan dua pelajar STPM Melaka telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dalam kategori Aliran Sains dan Mata Pelajaran Sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Pelajar Huffaz Tahun 2024 dan Majlis Pelancaran BIJAK STPM 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalannya Datuk Rosli Abdullah, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba serta Pengarah Pelajaran Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Ab Rauf berkata, STAM turut mencatatkan keputusan membanggakan apabila seramai 134 Huffaz berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan lulus peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“STAM juga merekodkan keputusan membanggakan dengan peningkatan PNGK 2.96 mata meningkat 0.03 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.