Pencemaran bau di Pantai Puteri terkawal

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PANTAI KUNDOR 24 September – Pencemaran bau di sekitar kawasan Pantai Puteri baru-baru ini yang berpunca daripada kebocoran sistem saluran daripada sebuah syarikat berjaya dikawal.

Keadaan itu bagaimanapun tidak menimbulkan sebarang gangguan kesihatan kalangan penduduk di kawasan sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, pihaknya difahamkan daripada syarikat terbabit, sistem saliran bocor menyebabkan pelepasan gas berbau busuk berlaku di sekitar kawasan terbabit.

Berikutan itu katanya, pelepasan gas yang berlaku itu mengakibatkan kadar pencemaran bau berada di bawah kadar 10 ton namun setakat ini tiada rekod masalah kesihatan dicatatkan dalam kawasan berkenaan.

“Tindakan segera telah diambil syarikat berkenaan dengan mengambil langkah semburan air dan buih bagi menyerap semua lepasan gas terlepas di udara dan dianggarkan kawasan yang terjejas di sekitar tiga kilometer daripada lokasi syarikat berkenaan.

“Syarikat berkenaan telah mengambil langkah Pelan Kontingensi bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan sebarang keresahan penduduk dan masalah kesihatan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Plugging @Community Peringkat Daerah Melaka Tengah di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam program disertai kira-kira 100 pelajar daripada Sekolah Menengah dan Politeknik itu telah menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai bagi melestarikan kawasan terbabit sebagai lokasi pelancongan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, rentetan penyebaran berita kurang tepat daripada pelbagai aplikasi media sosial telah menambahkan kerungsingan penduduk dalam kejadian yang berlaku.

“Jadi saya berharap juga kepada semua warga dalam DUN Pantai Kundor jika kita tak pasti apa yang berlaku kita sama-samalah menjaga sensitiviti,sebab dalam keadaan di luar jangka apa juga berita yang dikeluarkan pengesahan yang tidak betul akan menjadi satu impak yang tidak baik.

“Saya juga telah mengarahkan kepada Jabatan Kesihatan di kawasan ini untuk bersiap sedia sekiranya berlaku masalah kesihatan berkaitan perkara ini bagaimanapun setakat ini tiada rekod masalah kesihatan berhubung isu pernafasan direkodkan sepanjang insiden itu berlaku.

“Alhamdulillah keadaan setakat ini semua terkawal dan saya sedang menunggu laporan penuh daripada syarikat terbabit berhubung maklumat jelas apa yang berlaku pada hari terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post Seramai 6,499 suri rumah carum SKSSR setakat September
Next post Kekalkan keindahan Pantai Puteri
Ubah saiz-+=