Kekalkan keindahan Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PANTAI KUNDOR 24 September – Program melestarikan keindahan Pantai Puteri akan terus dilaksanakan bagi memastikan ia kekal menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar dari negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim berkata, sempena menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pihaknya menyasarkan lebih banyak program mengindahkan pantai dilaksanakan membabitkan pelbagai komuniti dan agensi.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, persekitaran Pantai Puteri juga akan terus dihijaukan dengan program penanaman pokok.

“Jadi, saya harap program sebegini kita akan perluaskan lagi dengan penglibatan pelbagai pihak khusus murid dan pelajar sekolah kerana mereka adalah pewaris keindahan destinasi pelancongan ini pada masa akan datang.

“Selain itu pokok yang mendatangkan risiko dan membahayakan pengunjung akan ditebang atau dicantas mengikut kesesuaian,” katanya selepas merasmikan Program Plugging @Community Peringkat Daerah Melaka Tengah di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Program itu membabitkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, SMK Seri Tanjong dan Politeknik Melaka yang menjalankan misi sukarela menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai serta mengutip sampah di sekitar pantai berkenaan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi terlibat untuk bersama-sama menganjurkan program melestarikan pantai berkenaan.

“Sementara itu kepada pengunjung dan pelancong saya harap lebih berdisiplin, bersama-sama pikul tanggungjawab menjaga kebersihan Pantai Puteri. Jaga kebersihan dan jangan buang sampah merata-rata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1308
Kongsi :
Previous post Pencemaran bau di Pantai Puteri terkawal
Next post Mampu capai 27 pingat tanpa ‘The Pocket Rocket Man’
Ubah saiz-+=