Pendapatan ahli silap mata ‘lenyap’ angkara magis PKP

Masa Membaca:3 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Jun – Sebelum COVID-19 melanda dunia, seorang figura yang menjadi penghibur menerusi aksi silap mata dan badut mampu menjana pendapatan ribuan ringgit dalam tempoh sebulan.

Namun, sejak lebih setahun lalu apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehidupan mereka seakan berputar 360 darjah apabila terpaksa melalui fasa gelap.

Hal itu diakui seorang penghibur silap mata dan badut sepenuh masa yang menetap di Solok Bukit Gedong, Pantai Kundor, Melaka.

Muhammad Fazzulry Zulkhairi, 30, berkata, sejak PKP dilaksanakan dia tidak lagi dapat menikmati kehidupan seperti dahulu untuk menghiburkan orang ramai di majlis tertentu, paling tidak tiga kali seminggu.

BURUNG merpati yang diternak sejak kecil menjadi peneman dalam setiap persembahannya.

Tempias pandemik ujarnya, membuatkan segala tempahan persembahan diterima terpaksa dibatalkan dan membuatkannya terpaksa beralih profesion menjadi seorang ‘runner’ demi kelangsungan hidup.

Malah, ada masanya dia juga terpaksa menjual barangan koleksi peribadi, termasuk prop silap mata serta koleksi cosplay yang dimilikinya sejak hampir sedekad apabila wang simpanan kian menyusut saban hari.

“Kalau diikutkan memang sangat ‘down’ (tertekan). Iyalah, saya sudah terbiasa menghibur orang dengan persembahan silap mata dan badut, tetapi tiba-tiba sahaja, tiada apa yang boleh saya lakukan.

“Sebab itulah untuk meneruskan hidup saya beralih menjadi penghantar barangan kepada penduduk, tidak kiralah ikan, sayur, buah-buahan atau pelbagai barangan lain akan saya lakukan demi sesuap nasi.

“Apapun, saya anggap semua itu sebagai satu dugaan. Hikmahnya, saya dapat belajar cara untuk mengawal perbelanjaan dan cuba melakukan apa jua pekerjaan untuk menampung pendapatan seharian,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya yang mesra dengan panggilan ‘Faz’, dia turut mencuba nasib dalam bidang perniagaan apabila membuka khidmat cuci kenderaan di Bukit Darat, awal tahun ini.

Menariknya, khidmat cuci kenderaan yang diusahakannya itu tidak menetapkan sebarang bayaran tertentu, sebaliknya bayarannya adalah seikhlas hati oleh pelanggan.

SERBA BOLEH…. persembahan badut turut dibuat bagi menghiburkan orang ramai dalam majlis sambutan hari jadi sebelum PKP dilaksanakan.

“Sambutan yang diterima memang cukup menggalakkan. Ramai yang memberi sokongan dan ada yang menularkannya di laman sosial membuatkan servis itu semakin mendapat perhatian di Melaka.

“Tapi malangnya, keseronokan itu hanya bertahan beberapa bulan apabila PKP 3.0 kembali dilaksanakan dan kini saya terpaksa menutup pusat cuci kenderaan itu, selain terpaksa merehatkan pekerja buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.

Berbagai dugaan dihadapi bagaimanapun tidak membuatkan anak jati Kampung Gajah, Perak itu berputus asa, sebaliknya percaya zaman kegemilangan karier silap mata dan badut dapat dikembalikan apabila semuanya reda suatu hari nanti.

Bagi meneruskan kelangsungan bakat yang dipelajarinya sejak 2010 itu, Faz kini mula berjinak-jinak dengan persembahan menerusi platform dalam talian seperti Tik Tok, Instagram dan Facebook untuk dipertontonkan kepada ramai.

HELAH kad terapung, antara yang popular dalam kalangan ahli silap mata.

“Bila kita pertunjukkan sisi-sisi seperti ini, tidak dinafikan ada yang memandang rendah dengan diri saya. Saya pernah dilabel orang gila, menggunakan sihir dan hantu dan bermacam-macam lagi.

“Tetapi saya dah lali dan saya menganggap semua kutukan dan cacian itu sebagai pembakar semangat untuk saya buktikan kepada semua bahawa apa yang saya lakukan ini tidak sia-sia.

“Alhamdulillah, apabila saya memuat naik beberapa helah silap mata di platform dalam talian, ia mula mendapat sambutan yang baik contohnya di Tik Tok yang baru sahaja saya mulakan minggu lalu, kini video saya sudah ditonton lebih 300,000 orang dan jumlah pengikut saya juga kian bertambah,” katanya.

Berbicara soal masa depan, anak kedua dari tujuh beradik itu mengimpikan kerjayanya boleh terus berkembang sehingga ke peringkat lebih tinggi, termasuklah membuat persembahan di luar negara.

Selain itu, dia juga berhasrat membuka syarikat berkaitan industri hiburan silap mata dan badut yang bukan sahaja menjual peralatan, bahkan membuka kelas latihan kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

961
Kongsi :
Previous post Ibu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya meninggal dunia
Next post BSN terus komited bantu pelanggan terjejas
Ubah saiz-+=