Sorting by

×

PENDEKATAN TURUN PADANG MPHTJ TINGKAT TAHAP KESEDARAN PEMBAYAR CUKAI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Pendekatan turun padang menerusi Program Jiwa Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Tunggakan Hasil MPHTJ di Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam, 17 Ogos lalu, berjaya menarik 72 pemilik pegangan cukai melunaskan tunggakan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM20,537.60.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron berkata, program turun padang seumpama itu secara tidak langsung meningkatkan tahap kesedaran orang ramai berhubung tanggungjawab membayar cukai mengikut tempoh ditetapkan.

“Kami juga memberi pendedahan kepada pemilik mengenai pelaksanaan bil cukai digital dan menggalakkan penggunaan aplikasi ‘MPHTJPay’ yang membolehkan semakan serta pembayaran dilakukan secara dalam talian pada bila-bila masa.

“Menerusi perkhidmatan digital ini mereka tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter, selain itu transaksi juga lebih mudah, selamat dan mesra pengguna,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, program itu dimeriahkan lagi dengan aktiviti cabutan bertuah melibatkan mereka yang membuat bayaran penuh cukai taksiran, selain pemberian cenderamata kepada yang mendaftar aplikasi MPHTJPay.

Katanya, turut berlangsung kempen kitar semula yang berjaya mengumpul 57 kilogram (kg) minyak masak terpakai, 149 kg pelbagai jenis barangan kitar semula dan 163.20 kg fabrik.

“Diharap pendekatan turun padang ini dapat meningkatkan kepatuhan pembayaran cukai dalam kalangan pemilik premis di kawasan pentadbiran MPHTJ,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post LEBIH 42,000 ANAK MELAKA BERKHIDMAT DALAM PERKHIDMATAN AWAM – KM
Next post MASUK MELAKA WONDERLAND HANYA RM30