Sorting by

×

Penempatan warga asing kotor antara punca kes denggi meningkat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 8 Oktober – Penempatan warga asing yang kotor dan tidak dijaga menjadi antara penyumbang peningkatan hampir 100 peratus kes denggi di Melaka pada tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sikap pentingkan diri majikan merupakan faktor utama kebanyakan penempatan warga asing menjadi lokasi ‘panas’ pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, ia berikutan kebanyakan syarikat lebih mengutamakan pengeluaran dan tidak cakna terhadap persekitaran tempat tinggal pekerja mereka.

“Mereka (majikan pekerja asing) lebih utamakan pengeluaran kilang berbanding berada bersama-sama kita melakukan gotong royong di tempat tinggal atau penginapan pekerja.

“Bila pekerja terlalu sibuk untuk kerja lebih masa, mereka tidak mementingkan kebersihan, walaupun perkara ini kita sudah berbincang dengan bahagian Sumber Manusia kilang berkenaan namun mereka buat seperti tidak endah.

“Penyumbang terbesar peningkatan denggi adalah kerana sikap penduduk termasuk penghuni asrama pekerja warga asing yang masih masih tidak menitikberatkan soal kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr.Rusdi berkata, kesukaran dalam aspek komunikasi antara cabaran yang membuatkan pihaknya sukar mengawal wabak denggi ekoran lambakan pekerja asing tinggal di kawasan pangsapuri.

Jelasnya, hal ini kerana usaha memerangi denggi tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah semburan asap baharu jenis ‘Outdoor Residual Spray’ (ORS) atau nyamuk Berwolbachia semata-mata.

“Saya harap, majikan warga asing dapat memainkan peranan mencari ruang tertentu pada hujung minggu misalnya untuk menggalakkan pekerja mereka melakukan gotong-royong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Terima kasih ‘lindungi’ kami – Orang Asli Machap Jaya
Next post Jerebu: Melaka belum cadang tutup sekolah
Ubah saiz-+=