Penerbangan domestik di LTAM akan diaktifkan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER LIMAU 15 Mei – Laluan penerbangan domestik dari Melaka ke beberapa destinasi akan dibuka semula bagi mengaktifkan kembali perkhidmatan sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, satu perbincangan lanjut bagi mengusulkan laluan penerbangan dari LTAM ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Kelantan dan Langkawi, Kedah akan dilaksanakan sebagai persediaan Melaka dalam menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelasnya, perbincangan itu akan dilaksanakan dengan syarikat penerbangan Wings Air esok bagi mencapai hasrat terbabit.

“Esok adalah hari pertama Melaka akan memulakan penerbangan antarabangsa ke Pekan Baru, Indonesia dan dalam kesempatan itu kita akan melaksanakan perbincangan untuk meneruskan semula beberapa penerbangan domestik dari LTAM bersama syarikat itu.

“Malah, kita sedang berusaha mengenal pasti beberapa syarikat penerbangan lain untuk memberikan tawaran dan kerjasama bagi meneruskan penerbangan domestik di beberapa lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Limau diadakan di Kampung Jeram di sini malam tadi.

Sambutan itu juga turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum ; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, dan barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu kenamaan lain.

73e10ba7-1f69-4df7-aa9f-71fdada20139
KEHADIRAN Tun Mohd Ali menyerikan suasana sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Limau diadakan di Kampung Jeram, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Hameed yang juga Adun Ayer Limau berkata, sebagai persediaan TMM2024 pelbagai perancangan lain juga akan dilaksanakan bagi memastikan sambutan itu berjalan lancar serta melonjakkan industri pelancongan negeri.

Menurut beliau, selain fokus mengaktifkan LTAM, Kerajaan Negeri juga akan memberi perhatian bagi membangunkan semula tarikan di Lapangan Terbang Aerodrom Sungai Rambai, Jasin.

“Kita juga sedang melihat semula apa peluang dan manfaat untuk kita aktifkan balik lokasi itu sebagai persediaan TMM2024.

“Kerajaan Negeri akan aktifkan semula kawasan itu sebagai tarikan pelancongan kerana kita dapati kawasan itu telah lama dibiarkan jadi mesti ada satu penyelesaian untuk memastikan ada tarikan baharu di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3965
Kongsi :
Previous post Naik beca ke Rumah Terbuka Aidilfitri Ayer Limau
Next post Politeknik Melaka pindah ke Lendu tunggu peruntukan UPE
Ubah saiz-+=