Sorting by

×

Pengasuh didakwa pukul, cakar bayi

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH, 27 Mei – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan memukul dan mencakar seorang bayi berusia 11 bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Nabilah Md Johan, 27 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Nabilah dipercayai menganiaya seorang kanak-kanak perempuan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dengan mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa menggunakan tangan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah Taska di Taman Seri Telok Mas, Melaka antara jam 5.30 petang hingga 5.45 petang, 18 Mei lalu.

Perbuatan itu dipercayai terbongkar selepas pengadu menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada keesokan harinya iaitu, 19 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam, Ab Kadir Ismail.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM 8,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai sebutan tarikh semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1630
Kongsi :
Previous post Pelayar warga Perancis ditahan di Mersing
Next post Sambutan Hawana pengiktirafan negara, masyarakat buat golongan wartawan
Ubah saiz-+=