Pengorbanan raya ‘badang cilik’ Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 28 April – Aidilfitri mungkin menjadi detik paling gembira bagi remaja seusianya, namun berbeza bagi badang cilik Melaka, Nurul Syasya Khairina Samsur, 14.

Nurul Khairina yang merupakan pemenang pingat emas angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) dalam kategori 49 kilogram wanita, terpaksa melupakan seketika kegembiraan berhari raya demi sukan yang diceburinya.

Bapanya, Samsur Midon, 53, berkata, anaknya terpaksa berkorban memandangkan bakal menghadapi beberapa kejohanan dalam dan luar negara tidak lama lagi.

Menurutnya, antara kejohanan yang bakal dihadapi ialah Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin pada 24 hingga 28 Mei; Kejohanan Jemputan Sekolah Sukan Thailand di Bangkok pada 21 hingga 28 Julai dan Kejohanan Youth Komanwel di New Delhi India yang masih menunggu keputusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Bukan sahaja ketika Aidilfitri, malah Samsur berkata, sejak Ramadan lagi anak kelima dari tujuh beradik itu tidak terlepas menjalani latihan pada setiap hari meskipun sedang berpuasa.

“Sejak puasa lagi Syasya tidak pernah merungut atau mengeluh kepenatan.

“Pada Isnin hingga Jumaat dia (Nurul Syasya) akan buat latihan di Pusat Latihan Angkat Berat Air Leleh, dia sudah biasa dan bertekad mahu memperbaharui rekod angkat beratnya.

“Malah, ketika raya juga dia tidak mengambil masa yang lama untuk kembali berlatih bagi menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.

Menurut Samsur, walaupun mementingkan latihan dan persiapan kejohanan angkat berat, namun Nurul Syasya masih sempat mencuri peluang berhari raya dan mengunjungi rumah saudara-mara di Felda Bukit Senggeh dan Tanjung Bidara.

“Meskipun beraya, aspek pemakanan tetap dijaga oleh Syasya bagi menjaga staminanya,” katanya.

1
NURUL Syasya dan keluarganya ketika beraya di Felda Bukit Senggeh, Asahan.

Tambah Samsur lagi, kejayaan yang diraih atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz pada Sukan Olimpik membuatkan Nurul Syasya lebih tercabar dan ingin terus melangkah lebih jauh dalam sukan angkat berat.

“Kekuatan Syasya ini dia ingin menjadi seperti idolanya Hidilyn, bila Hidilyn berjaya dia pun ingin berjaya dan kalau boleh dia ingin capai lebih lagi.

“Cuma saya nasihatkan Nurul Syasya agar jangan terlalu gopoh kerana dia masih muda, masih jauh perjalanan dan banyak latihan yang boleh dilakukannya kerana dia masih muda,” katanya.

Katanya lagi, kejayaan yang pernah diraih Nurul Syasya turut membuatkan seorang lagi adiknya, Muhammad Ilham Hakim, 11, mahu mengikut jejak langkah kakaknya itu dengan menyertai Kejohanan Bakat Kebangsaan di Kuala Lumpur yang dijangka pada Mei atau Jun nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1676
Kongsi :
Previous post Kompaun RM250 hingga RM500 jika dicekup buang sampah – MBMB
Next post TH umum 3.1 peratus agihan keuntungan bagi 2022
Ubah saiz-+=