Kompaun RM250 hingga RM500 jika dicekup buang sampah – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PENGKALAN BATU 28 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menambah bilangan penguatkuasa bagi memantau isu pembuangan sampah kecil atau ‘litter’ di lokasi-lokasi tumpuan dalam negeri ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya mendapati isu pembuangan sampah ‘litter’ semakin bertambah sejak Syawal pertama dan kedua yang lalu.

Katanya, pertambahan penguatkuasa di lokasi ikonik dan tumpuan pelancong itu bagi mengelakkan berleluasanya pembuangan sampah seperti puntung rokok, bekas air minuman dan makanan merata-rata.

“Pada musim perayaan dan cuti yang panjang ini kita pergiatkan lagi penguatkuasaan terhadap sampah-sampah litter ini, jika dahulu kita hanya memberi teguran, namun kini tindakan tegas akan terus diambil dan kompaun akan dikeluarkan.

“Saya ingin beri peringatan kepada semua, untuk jangan suka-suka membuang sampah secara merata, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda dari RM250 sehingga RM500.

“Antara lokasi tumpuan yang sering ditemui sampah litter ini adalah di Banda Hilir seperti di Bangunan Stadthuys, jam besar dan beberapa lokasi lain lagi. Meskipun tong sampah yang disediakan di lokasi tersebut mencukupi namun orang ramai masih gagal membuang sampah ke dalam tong sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin mengadakan lawatan ke Pasar Besar MBMB, Jalan Tun Fatimah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada pemilik premis-premis perniagaan bangunan rumah kedai dan pusat membeli belah untuk menjaga kebersihan di kawasan mereka.

“Selain itu premis-premis pelancongan turut disaran untuk memastikan kawasan mereka sentiasa bersih.Hal ini kerana pada musim perayaan ini, kakitangan pembersihan kekurangan pekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2074
Kongsi :
Previous post Enam kenderaan rosak ditimpa pokok tumbang
Next post Pengorbanan raya ‘badang cilik’ Melaka
Ubah saiz-+=