Pengundi muda paling ramai, terpaksa beratur sejam

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANGGA BATU 19 November – Gelombang anak muda yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini dapat dirasai apabila rata-rata pusat pengundian dipenuhi golongan itu.

Tinjauan di beberapa pusat pengundian di bawah P.136 Parlimen Tangga Batu mendapati, saluran mengundi membabitkan anak muda paling menyerlah apabila mereka terpaksa beratur panjang untuk menunaikan tanggungjawab.

Di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai, misalnya, pengundi muda terpaksa beratur selama hampir sejam untuk tiba giliran mereka mengundi.

Meskipun terpaksa menunggu lama, bagi calon muda Muneera Farisya, 20, ia tidak menghalangnya untuk bersama-sama rakyat Malaysia melalui proses demokrasi dalam memilih pentadbiran Kerajaan yang baharu.

“Saya tiba di pusat mengundi bersama dua kakak saya pada jam 1.30 tengah hari tadi dan hanya selesai sejam selepas itu.

“Walaupun penat menunggu dan beratur, namun ini adalah satu pengalaman berharga untuk saya yang pertama kali mengundi,” katanya.

Nada keterujaan sama turut disuarakan Nonis Darlina Nawawi, 23, yang ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput.

Katanya, walaupun sebagai anak muda, namun sebagai pengundi, dia tetap mengambil serius dalam memilih calon yang benar-benar layak untuk mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi saya kena ambil serius sebab ini akan menentukan masa depan negara. Jadi, kita perlulah mengundi dan memilih betul-betul calon yang layak menjadi pemimpin negara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pusat mengundi setakat jam 2 petang ini mendapati, kebanyakan tempat mengalami kesesakan luar biasa berikutan ramai yang memilih untuk keluar mengundi sedikit lewat.

Meskipun begitu, dengan bantuan petugas dan RELA yang mengawal lalu-lintas, keadaan itu dilihat masih terkawal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2180
Kongsi :
Previous post Tiada insiden buruk, luar biasa semasa proses mengundi setakat ini – Acryl Sani
Next post Proses pengundian individu positif COVID-19 lancar – Khairy
Ubah saiz-+=