Peniaga teruja hasil nanas Sarawak lebih menguntungkan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat
NANAS Sarawak klon baru dituai apabila mencecah usia sembilan bulan. – Foto Din Ahmad

MASJID TANAH 19 Jun – Seorang peniaga kedai runcit teruja apabila mula menuai nanas yang berat purata mencecah antara 4.3 hingga 5.3 kg kilogram (kg) sebiji sejak Isnin lalu berikutan penggunaan benih baru.

Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 55, mula menikmati hasil tuaian yang lebih menguntungkan itu selepas menunggu sembilan bulan untuk nanas mencapai usia yang sesuai untuk dituai.

“Pada mulanya saya tidak percaya benih nanas yang dibeli adik saya itu mampu menghasilkan nanas seberat lima kg tetapi selepas menuai hasilnya, barulah saya percaya.

“Kami tidak tahu namanya tetapi yang kami tahu ia adalah nanas Sarawak klon baru yang amat berbeza dengan nanas lain kerana berat puratanya ialah antara 4.5 kg hingga 5.3 kg,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Kampung Solok Duku, di sini, semalam.

Beliau berkata, adiknya, Yaakob, 54, membeli benih nanas berkenaan daripada rakannya di Muar, Johor, tahun lalu dan memintanya mencuba menanamnya di belakang kedai runcitnya.

Katanya, pada awalnya beliau keberatan kerana kurang yakin ia benih berkualiti tinggi, namun selepas dipujuk berkali-kali, beliau bersetuju menanam 100 benih nanas berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati nanas pertama yang saya tuai Isnin lalu seberat 4.5 kg dan hari ini saya dapat nanas seberat 5.3 kg dan ia sangat jauh bezanya dengan nanas biasa yang purata beratnya antara 1.2 hingga 1.5 kg,” katanya.

Beliau berkata, baja yang digunakan untuk nanas berkenaan sama dengan yang digunakan untuk tanaman lain seperti terung dan pisang yang turut ditanam di belakang kedainya.

Katanya, penanaman nanas lebih mudah berbanding tanaman lain kerana ia tahan penyakit dan cuaca serta mampu menghadapi musim kering yang panjang berbanding tanaman lain.

“Jika nanas biasa dijual pada harga borong dua biji RM5, nanas Sarawak klon baru dijual RM3 sekilogram, sekali gus membawa pulangan yang lebih baik,” katanya.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post Agong zahirkan ucapan takziah pemergian tokoh sasterawan Dr Mohamed Ghazali
Next post 1,230 individu ditangkap sepanjang PKP, PKPB
Ubah saiz-+=