1,230 individu ditangkap sepanjang PKP, PKPB

MELAKA 19 Jun – Sebanyak 1,230 tangkapan dibuat polis negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sepanjang 84 hari sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan dilakukan, pihaknya telah mengeluarkan 726 kompaun terhadap individu yang didapati melanggar syarat PKP dan PKPB.

“Untuk tempoh 47 hari sepanjang PKP sebanyak 1,129 tangkapan dibuat dengan 896 dihadapkan ke mahkamah dan 329 kompaun dikeluarkan.

“Manakala, bakinya 101 tangkapan dan 397 kompaun dikeluarkan dalam tempoh PKPB dengan 54 individu dituduh,” katanya.

Menurut beliau, antara kesalahan ketidakpatuhan yang dilakukan adalah melepak berkumpulan, berdua-duan dalam kenderaan tanpa alasan munasabah, berborak di halaman rumah dan bergerak ke tempat kerja yang bukan perkhidmatan perlu dalam tempoh PKP.

“Malah mereka ada juga memancing bersama rakan serta mengadakan ‘private party’,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai mematuhi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Semua pihak sama ada, individu atau peniaga hendaklah mematuhi SOP ditetapkan ketika berkunjung ke tempat awam atau dalam urusan harian.

“Turut diingatkan agar elakkan melakukan aktiviti terlarang yang terdedah kepada risiko jangkitan serta membawa golongan mudah terdedah ke khalayak ramai,” katanya.

Views:

2
Previous post Peniaga teruja hasil nanas Sarawak lebih menguntungkan
Next post Tun Mohd Ali hadir majlis doa kesyukuran, bacaan Yassin di Seri Bendahara